Majlis Perbandaran Selayang (MPS) merobohkan bengkel membaiki jentera berat ketika Operasi Bersepadu Pembangunan Tanpa Kebenaran di Kampung Dato Lim Kim Sai, Rawang. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

LUAS: Polisi sifar lepas bahan buangan tangani pencemaran

SHAH ALAM, 13 MAC: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengkaji beberapa tindakan bagi menyelesaikan isu aktiviti pinggir sungai di negeri itu berisiko mengakibatkan pencemaran.

Tindakan itu kata LUAS termasuk kajian pelaksanaan pelepasan efluen berdasarkan kapasiti sungai bertujuan memastikan bebanan pelepasan premis seiring keupayaan semasa.

“Selain itu, LUAS turut meneliti polisi pelepasan sifar selaras dengan Seksyen 44(1)(b) Enakmen LUAS 1999 yang dikaji untuk dilaksanakan pada masa akan datang bagi mengurangkan bebanan pencemaran sungai,” kata LUAS, lapor Kosmo!

LUAS berkata terdapat 1,187 aktiviti dikesan boleh mengakibatkan pencemaran di pinggir enam sungai.

Katanya, jumlah itu melibatkan 537 akitiviti risiko pencemaran di Sungai Sembah, Sungai Klang (475), Sungai Damansara (100), Sungai Semenyih (60), Sungai Baranang (9) dan Sungai Rinching (6).

Hasil kajian inventori agensi itu, kegiatan risiko pencemaran sungai termasuk perkilangan, pertanian, kediaman, perniagaan, perkhidmatan, penternakan dan akuakultur.

“Sepanjang tahun lalu, 19 kes pencemaran kod kuning berjaya ditangani segera bagi mengelak loji rawatan air (LRA) dihenti tugas selain 10 pencemaran kod merah yang menyebabkan henti tugas LRA.

“Bagi tempoh sama 12 kes pencemaran didapati berpunca daripada pelepasan efluen atau sisa air buangan kilang serta premis,” katanya.


Pengarang :