Kontraktor panel pembersihan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) menjalankan kerja pembersihan di alur Sungai Balak pada 28 Oktober 2020. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor
AGENSISELANGOR

Kilang makanan didenda RM225,000 cemarkan Sungai Balak

SHAH ALAM, 19 MAC: Sebuah kilang makanan di Kampung Baru Balakong didenda RM225,000 oleh Mahkamah Sesyen Kajang hari ini, atas enam pertuduhan mencemarkan Sungai Balak pada 28 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor berkata syarikat itu melepaskan efluen perindustrian melebihi had di kawasan tadahan air serta bahan buangan mengandungi minyak pelincir terpakai ke dalam Sungai Balak.

“Hakim Mohd Kafli Che Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap syarikat selaku orang kena saman (OKS) yang diwakili pengurus sumber manusianya selepas mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan.

“OKS dituduh di bawah Peraturan 11 (1) (a), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009,” kata Nor Aziah Jaafar menerusi kenyataan.

Beliau berkata bagi pertuduhan kedua, syarikat tersebut didapati melepaskan efluen perindustrian melebihi had ditetapkan mengikut Peraturan 12(a), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

“Pertuduhan ketiga melibatkan perbuatan syarikat melepaskan bahan buangan mengandungi minyak pelincir terpakai ke alur yang mengalir ke dalam Sungai Balak.

“Bagi pertuduhan keempat dan kelima, syarikat tidak mematuhi spesifikasi sistem pengolahan efluen perindustrian selain gagal memaklumkan kepada Ketua Pengarah JAS dalam tempoh kurang enam jam,” katanya.

Beliau berkata bagi pertuduhan keenam, syarikat didapati membuang efluen perindustrian bercampur minyak pelincir terpakai yang tidak terlarut ke dalam perairan pedalaman.

Nor Aziah berkata orang ramai diminta melaporkan aktiviti mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau emel ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

Pada 30 Oktober tahun lalu, JAS mengambil tindakan tegas dengan menghentikan operasi sebuah kilang makanan yang menjadi punca pencemaran Sungai Balak.


Pengarang :