Dato’ Seri Amirudin Shari (kanan) menyembah maklum kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berhubung perkembangan semasa kes Covid-19 di Selangor dan menunaikan solat Jumaat di Masjid Negeri, Shah Alam pada 19 Mac 2021. Foto Twitter Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB sembah maklum situasi semasa Covid-19 negeri, vaksin

SHAH ALAM, 19 MAC: Dato’ Menteri Besar hari ini menyembah maklum kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berhubung perkembangan semasa kes Covid-19 di negeri ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut memaklumkan peningkatan jumlah petugas hadapan Selangor yang divaksin kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

“Ia termasuk usaha Kerajaan Negeri bagi mengatasi penularan kes melalui Saringan Komuniti yang diadakan setiap minggu. Menjunjung kasih Tuanku,” tulisnya di Facebook.

Sebelum itu, Amirudin mengiringi Sultan Selangor menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Semalam, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa sukacita susulan lebih 90 peratus petugas kesihatan negeri di hospital kerajaan mendapat suntikan vaksin.

Lebih 45,000 daripada 66,690 petugas hadapan negeri termasuk anggota pasukan keselamatan menerima suntikan dos pertama setakat ini, yang juga jumlah tertinggi dalam negara.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut melaksana program saringan bersasar percuma bagi mengekang penularan Covid-19 dengan sasaran penglibatan 50,000 penduduk.

Program secara mingguan akan diteruskan esok di Dewan Orang Ramai Telok Panglima Garang dan Dewan Bestari Jaya, Kuala Selangor pada Ahad.


Pengarang :