Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari mendengar penerangan dari Exco Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita & Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud sempena pelancaran 16 Hari Aktivisme Melawan Keganasan Berdasarkan Gender di Foyer SUK, Shah Alam pada 25 November 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Selangor iktiraf peranan wanita, beri peluang kemudi pentadbiran

SHAH ALAM, 8 MAC: Komitmen Kerajaan Selangor dalam mengiktiraf peranan wanita terbukti apabila memberi peluang kepada golongan itu memegang jawatan penting di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar berkata pentadbiran Majlis Bandaraya Subang Jaya, Pemerbadanan Menteri Besar dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor antara yang dilantik dalam kalangan wanita.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan negeri ini juga pernah mempunyai speaker Dewan Undangan Negeri wanita pertama di Malaysia.

“Selangor membuktikan peranan wanita sama penting untuk mengemudi nakhoda pentadbiran dengan beberapa portfolio dan pengurusan pihak berkuasa tempatan, agensi serta anak syarikat Kerajaan Negeri,” katanya dalam perutusan Hari Wanita Sedunia 2021.

Amirudin berkata Selangor akan terus mengorak langkah memperjuang agenda pengarusperdanaan gender selain membela peluang dan harapan wanita negeri ini.

Menurutnya, penglibatan dan sumbangan wanita dalam perniagaan, pendidikan, sukan, seni dan pentadbiran adalah luar biasa serta wajar diperakui.

“Setiap lapisan masyarakat sama ada komuniti perniagaan, pentadbiran kerajaan atau institusi keluarga harus bekerja sebagai satu pasukan untuk memecahkan ‘artificial ceiling’ yang menyekat kemaraan wanita supaya potensi sebenar dapat direalisasikan,” katanya.

Beliau turut menyeru seluruh dunia meraikan sambutan itu bagi mengingati dan mengiktiraf peranan wanita dalam pembangunan bangsa serta negara.

 


Pengarang :