Anggota polis memeriksa dokumen perjalanan seorang penghantar makanan ketika menjalankan sekatan jalan raya di Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), pada 5 Februari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PAKATAN: Perbahasan Parlimen boleh elak isu kompaun, SOP keliru

SHAH ALAM, 21 MAC: Isu nilai kompaun tinggi berhubung pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP) Covid-19 boleh dielak jika dibincang secara teliti dan dibahas di parlimen.

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PAKATAN) berkata kebanyakan dasar sedia ada tidak dirangka dengan baik dan tidak memberi dampak terhadap usaha mengawal penularan wabak.

“Maka kami menggesa parlimen segera bersidang semula sebagai salah satu cara menyelamatkan negara dari sudut kesihatan dan ekonomi dengan menggubal undang-undang yang lebih berkesan.

“Tanpa kebertanggungjawaban parlimen, kami risau masalah sedia ada akan berlarutan serta menjadi norma,” kata gabungan itu dalam kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Fahmi Fadzil dari Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Khalid Samad (Amanah) dan Ong Kian Ming (DAP).

Ketiga-tiga pemimpin itu turut menggesa kerajaan lebih berperikemanusiaan dalam menguatkuasakan undang-undang yang menindas golongan kurang berkemampuan.

Mereka juga meminta kerajaan menunjukkan langkah yang diambil secara ‘saintifik’ dan ‘berasaskan data’ dalam merangka SOP termasuk penggunaan MySejahtera.

“Dilaporkan hanya empat peratus kes Covid-19 dijejak menggunakan aplikasi itu dan kami belum lihat bukti ia dimanfaat secara berkesan sepanjang tempoh perintah kawalan.

“Ahli parlimen PAKATAN komited untuk bekerjasama dengan persekutuan dan negeri bagi memberi input dan cadangan mengekang penularan wabak secara lebih baik,” kata gabungan itu.

Berkuat kuasa pada 11 Mac, individu yang melanggar SOP pencegahan dan kawalan Covid-19 berdepan hukuman denda maksimum RM10,000.


Pengarang :