Penghantar barangan Seldec mengangkat beg selepas pelancaran portal Rantaian e-Bekalan Digital Selangor dan aplikasi Seldec Rider di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 24 Jun 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Platform Seldec sasar 10,000 jenis makanan, barangan sepanjang Ramadan

SHAH ALAM, 18 MAC: Penduduk di Subang Jaya dan dan Kuala Selangor boleh melayari platform Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) yang memaparkan hampir 10,000 menu dan barangan sepanjang Ramadan.

Pengurus besar pembangunan perniagaan Seldec berkata program e-bazar Ramadan itu melibatkan kerjasama dengan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS).

“Aplikasi Dapur Seldec dan Dapur Seldec Rider diwujudkan khusus untuk e-bazar Ramadan disertai 1,500 peniaga di bazar dan rumah yang dibahagikan kepada 40 zon.

“Penghantaran untuk setiap zon dibuat dalam lingkungan lima hingga tujuh kilometer, kita tetapkan pesanan dihantar dalam tempoh 30 minit hingga sejam,” kata Mohd Fauzan Elham kepada SelangorKini, semalam.

Beliau berkata aplikasi Dapur Seldec dan Dapur Seldec Rider akan kembangkan
untuk peniaga pasar malam, pasar pagi dan pasar awam.

Seldec dilancarkan pada 3 Oktober 2019 bertujuan membantu peniaga meningkatkan pendapatan menerusi jualan secara dalam talian.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Seldec digunakan untuk memasarkan hasil tani, produk usahawan kecil dan barangan basah secara meluas.

Seldec diterajui Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd menghubungkan pembeli dan penjual secara langsung melalui pautan https://www.seldec.com.my/en.


Pengarang :