Jengkaut merobohkan stor barang lusuh dan kilang pembuatan pintu yang beroperasi secara haram di Batu 17, Rawang ketika operasi bersepadu pembangunan tanpa kebenaran oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Gombak pada 10 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Premis ceroboh tanah kerajaan akan diroboh – LUAS

SHAH ALAM, 13 MAC: Semua kilang dan premis yang beroperasi di kawasan rizab sungai terutama tanah kerajaan akan dirobohkan.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memaklumkan bagi premis di tanah milik persendirian atau pajakan perlu mendapatkan kebenaran beroperasi secara bertulis aktiviti pengubahan sumber di bawah Seksyen 43 Enakmen LUAS 1999.

Jelasnya, langkah itu untuk mengawal pembangunan melibatkan kilang, pertanian dan perumahan yang diterima pihak berkuasa tempatan (PBT), lapor Kosmo.

“Tindakan berdasarkan pewartaan tersebut berkuat kuasa bermula dari tarikh kuat kuasa Enakmen Luas 1999 iaitu selepas 18 September 1999.

“Walaupun kilang dan premis yang dibina sebelum enakmen itu berkuat kuasa, agensi kerajaan seperti Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) serta PBT boleh mengambil tindakan mengikut undang-undang,” katanya.

LUAS memaklumkan, sebanyak enam kes telah diambil tindakan terhadap sungai diwartakan sebelum ini iaitu Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Damansara.

“Ia merangkumi tindakan notis, kompaun dan pendakwaan di mahkamah di bawah Seksyen 79 dan Seksyen 43 Enakmen LUAS 1999 serta perundangan jabatan lain yang berkaitan seperti Seksyen 430 Kanun Keseksaan dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri telah mengambil tindakan meroboh lapan struktur binaan haram terdiri empat bengkel jentera berat, dua premis kitar semula, satu kandang lembu dan bengkel pembuatan pintu sejak 24 November tahun lalu.


Pengarang :