Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) memperkenalkan ‘Barter Trade Market’ iaitu program pertukaran barangan kitar semula milik penduduk kepada barangan keperluan asas dalam membantu golongan B40 di Pusat Kitar Semula & E-Waste Pangsapuri Sri Tanjung, Subang Jaya pada 21 Mac 2021. Foto ihsan MBSJ
PBTSELANGOR

Program tukar barang kitar semula kepada keperluan asas bantu golongan B40

SHAH ALAM, 26 MAC: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) memperkenalkan ‘Barter Trade Market’ iaitu program pertukaran barangan kitar semula milik penduduk kepada bahan keperluan asas dalam membantu keluarga berpendapatan rendah (B40).

Timbalan pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategiknya memaklumkan kaedah digunakan buat julung kalinya pada 21 Mac lalu di bawah Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 3 itu bertujuan mendidik golongan ini yang tidak hanya menerima bantuan tetapi juga turut menyumbang barangan berkaitan kepada majlis.

“Inisiatif seperti itu membuatkan penerima berasa lebih bermakna kerana berbakti kepada masyarakat serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kitar semula dan memupuk budaya amalan berkenaan kepada mereka.

“Pada program dianjurkan di Pusat Kitar Semula & E-Waste Pangsapuri Sri Tanjung, Subang Jaya sebanyak 205 kilogram (kg) barangan tersebut berjaya dikumpul dan ditukarkan kepada 205 kg ikan,” kata Azfarizal Abdul Rashid menerusi kenyataan.

Beliau berkata, program berkenaan akan diteruskan pada masa akan datang dengan pelbagai lagi jenis pertukaran seperti sayur, beras, tepung dan keperluan asas lain.

“Selain daripada pelbagai jenis makanan MBSJ juga akan menyediakan keperluan barangan dapur serta pertukaran buku dan alat tulis bagi golongan pelajar,” katanya menambah penduduk memberi sambutan baik dan berminat untuk turut serta dalam program selepas ini.

 


Pengarang :