Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Petugas Khas Agensi Kerajaan Negeri bagi menangani masalah dadah di Selangor di Bangunan SUK, Shah Alam pada 22 Julai 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Video tular geledah rumah ikut peruntukan undang-undang – polis

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Tindakan pihak polis memeriksa serta menggeledah sebuah rumah individu di Taman Bukit Segar, Kajang pada 26 Feb lepas yang tular di media sosial adalah mengikut peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 248 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata tindakan yang dibuat di kediaman individu itu adalah bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Tindakan diambil pihak polis dalam isu ini adalah mengikut peruntukan undang-undang dan kuasa-kuasa menyiasat yang telah ditetapkan.

“Sehubungan itu, pihak polis menasihati orang ramai supaya jangan terpengaruh dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini sehingga boleh menimbulkan kekeliruan masyarakat,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Baru-Baru ini, tular hantaran video seorang individu yang sedang dikesan polis mendakwa anggota pasukan keselamatan itu membuat serbuan serta penggeledahan di kediamannya tanpa mengemukakan sebarang waran tangkap dan waran geledah.

Individu itu didakwa tidak memberikan kerjasama selepas 30 minit pihak polis berada di depan rumahnya dan tindakan pengeledahan serta penyitaan tanpa waran telah dibuat oleh seorang pegawai polis.

– BERNAMA


Pengarang :