Daing Muhammad Reduan Bachok (tengah) menyerahkan bantuan makanan kepada penduduk kurang berkemampuan sekitar Lembah Jaya. Foto ihsan Daing Muhammad Reduan Bachok
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Wakil rakyat Lembah Jaya pusing kampung agih bantuan makanan

SHAH ALAM, 12 MAC: Sejak dilantik sebagai penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya, Daing Muhammad Reduan Bachok, 36, gigih pusing tujuh kampung tradisi Melayu.

Namun, beliau menjelaskan Lembah Jaya sebenarnya kawasan campuran yang turut dihuni pelbagai etnik seperti Cina, India dan pelbagai lagi.

“Uniknya, kita juga ada etnik seperti Jawa dan Bawean (Boyan) yang mungkin datang ke sini dari Indonesia puluhan tahun dulu tapi kini sudah berasimilasi,” katanya.

Beliau juga kerap menganjurkan program bantuan makanan Sumbangan Kasih Lembah Maju Jaya untuk mengedar keperluan asas bagi membela nasib rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Saya wujudkan inisiatif bagi membantu golongan berpendapatan rendah (B40) dan pasangan yang susah. Barangan disalur ke seluruh Lembah Jaya bermula di kampung-kampung termasuk warga emas dan orang kelainan upaya.

“Kita juga cari keluarga yang kena buang kerja bagi membantu ringankan beban mereka,” katanya.

Daing Muhammad Reduan Bachok menyantuni penduduk pada program bantuan makanan Sumbangan Kasih Lembah Maju Jaya. Foto ihsan Daing Muhammad Reduan Bachok

Berpengalaman sebagai bekas pegawai khas ahli parlimen Ampang, beliau mengunjungi hampir seluruh kawasan DUN dalam masa singkat bagi mengenal pasti ma-salah rakyat.

Beliau juga mengakui perubahan landskap politik memberi kesan kepada rakyat kerana banyak program termasuk Inisiatif Peduli Rakyat terjejas, akhirnya rakyat tiada tempat mengadu.

“Program Jom Shopping Skim Mesra Usia Emas terhenti sejak Julai. Saya semak 2,500 orang tidak dapat. Penduduk tertanya-tanya ke mana mahu pergi untuk uruskan hal tersebut?

“Sebab itu, saya fokus agar rakyat boleh jumpa untuk daftarkan diri. Mereka perlukan bantuan tetapi bila ADN (Ahli Dewan Negeri) berubah, mereka terpinga-pinga. Sekarang kita selesaikan sedikit demi sedikit,” katanya.

Beliau berkata bantuan Jom Shopping Deepavali diagih kepada 450 individu manakala bantuan makanan asas di Kampung Sri Taman Baru selain sumbangan pelitup muka di Kampung Bukit Sungai Putih.

Daing juga prihatin masalah penduduk yang sering membangkitkan kepadanya adalah projek Loji Rawatan Air Langat 2 dan kesesakan ekoran pembinaan Lebuhraya Su-ngai Besi-Ulu Klang (Suke).

Namun, beliau optimis lebuh raya tersebut yang kini 85 peratus siap mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas apabila kerja pembinaan selesai kelak.

“Saya harap dapat disegerakan bagi menyelesaikan masalah kesesakan,” katanya yang juga setiausaha kehormat Persatuan Mencegah Dadah negeri.

“Orang cakap, siapa duduk Ampang, memang orang-orang yang sangat bersabar sebabnya ksesakan di sini luar biasa apatah lagi banyak laluan mengarah ke Ampang.

Daing turut memuji pelbagai usaha Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bagi memberdayakan rakyat termasuk mewujudkan Inisiatif Roda Darul Ehsan, penekanan kepada pendigitalan dan peka dalam soal kepentingan pendidikan.

Lembah Jaya merupakan kawasan bawah parlimen Ampang yang dimenangi Haniza Talha, mengalahkan tiga lagi calon lain dengan majoriti 14,790 undi.

Haniza pada pilihan raya 2018 bertanding atas tiket KEADILAN, tapi pada 29 Jun dipecat parti serta dilucutkan jawatan EXCO pada 11 Julai tahun lalu.


Pengarang :