Selangorkini
EXCO Industri dan Perdagangan Dato’ Teng Chang Kim bercakap ketika sesi sidang media Kempen Selangor E-Bazar Tahun Baharu Cina yang dibuat secara virtual pada 26 Januari 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCO SELANGOR

E-bazar Tahun Baharu Cina catat RM619 juta kesan riak, tarik lebih 77,000 peniaga

SHAH ALAM, 7 APRIL: Kempen Selangor E-Bazar Tahun Baharu Cina pada 1 Februari lalu mencatatkan RM619 juta kesan riak kepada ekonomi negeri termasuk jualan terus bernilai RM35.5 juta.

EXCO industri dan perdagangan berkata kempen yang berlangsung sehingga 7 Mac itu juga berjaya menarik 77,903 peniaga termasuk 19,644 peniaga baharu menerusi platform e-dagang terkemuka, Shopee dan Lazada.

“Kerajaan Negeri amat bangga apabila lebih ramai peniaga baharu menerokai bidang e-dagang pada kempen kali ini, ia dibuktikan menerusi peningkatan sebanyak 157 peratus peniaga berbanding sasaran awal iaitu 12,500 peniaga.

“Saya juga percaya kempen ini telah membantu peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mikro mengaplikasikan pendigitalan ketika berdepan persekitaran perniagaan yang mencabar kesan daripada Covid-19,” kata Dato’ Teng Chang Khim pada sidang media menerusi aplikasi Zoom, hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris dan CEO Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec), Yong Kai Ping.

Chang Khim berkata kempen kali ini juga menunjukkan perubahan demografi pengguna e-dagang iaitu daripada golongan anak muda kepada kumpulan dewasa bekerja.

“Kita dapati kebanyakan pengguna yang tertarik pada kempen ialah mereka berusia dari 35 hingga 44 tahun.

“Empat kategori jualan paling popular iaitu kesihatan, kecantikan, automotif dan barangan rumah. Tidak ketinggalan ialah barang berkaitan dengan permainan, buku dan hobi,” katanya.


Pengarang :