Dato’ Teng Chang Khim ketika ditemu bual Media Selangor sempena program sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Selangor 2021 di Bangunan SUK, Shah Alam pada 2 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan Selangor e-Bazar Raya sasar RM700 juta kesan riak

SHAH ALAM, 7 APRIL: Kempen Selangor e-Bazar Raya yang dijadual bermula 15 April hingga 29 Mei ini menyasarkan RM700 juta kesan riak kepada ekonomi negeri.

EXCO industri dan perdagangan berkata Kerajaan Negeri akan menyalurkan baucar bernilai RM2 juta menerusi Shopee dan Lazada bagi merancakkan kempen berkenaan.

“Penganjuran ini dilakukan susulan kejayaan e-Bazar Tahun Baharu Cina pada Februari lalu yang mencatatkan RM619 juta kesan riak kepada ekonomi negeri.

“Kita juga berharap supaya pendaftaran usahawan mendapat sambutan menggalakkan,” kata Dato’ Teng Chang Khim pada sidang media menerusi aplikasi Zoom, hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris dan CEO Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec), Yong Kai Ping.

Menurut Chang Khim, pelaksanaan bazar dalam talian itu bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan mikro menerapkan pendigitalan dalam perniagaan terutama mendepani cabaran pasca Covid-19.

Tambah beliau, kempen itu menyediakan platform yang selamat untuk pengguna mendapatkan pelbagai jenis barangan dengan harga berpatutan.

“Kita berharap kempen ini memberi semangat dalam meraikan Hari Raya,” katanya.


Pengarang :