Kaunter pendaftaran vaksin anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Dusun Tua di Pasar Pagi Segar Perdana pada 21 Mac 2021. Foto Facebook Edry Faizal
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Fobia jarum, ragu vaksin antara punca warga emas enggan daftar

SHAH ALAM, 5 APRIL: Fobia jarum dan ragu keberkesanan vaksin antara punca sebilangan warga emas enggan berdaftar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

ADN Dusun Tua Edry Faizal Eddy Yusof membantu warga emas mendaftar vaksin menerusi perkhidmatan kaunter bergerak di Pasar Pagi Segar Perdana pada 21 Mac 2021. Foto Facebook Edry Faizal

Wakil rakyat Dusun Tua berkata masalah tersebut dikesan ketika pusat khidmatnya membuka kaunter pendaftaran di Pasar Pagi Segar Perdana, Pasar Pagi Alam Jaya dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Batu 9.

“Saya tidak hairan jika mereka kurang jelas dengan cara pendaftaran kerana golongan ini kebiasaannya tidak mahir berkaitan teknologi tetapi yang merisaukan ada antara mereka takut jarum serta ragu dengan vaksin sehingga mengambil sikap tunggu dan lihat.

“Justeru, saya minta anak-anak supaya lebih cakna terhadap ibu bapa di kampung untuk yakinkan mereka daftar vaksin sebagai langkah perlindungan wabak Covid-19,” kata Edry Faizal Eddy Yusof kepada SelangorKini.

Beliau menjelaskan lebih 100 individu singgah ke kaunter bergerak di tiga lokasi terbabit dengan majoritinya warga emas bangsa Tionghoa berusia 50 tahun ke atas.

“Kita akan terus bergerak ke pasar-pasar lain untuk memastikan lebih ramai individu berdaftar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan,” katanya.


Pengarang :