AGENDANASIONAL

Laluan Subang ke Glenmarie ditutup susulan gas bocor di tapak bina LRT3

SHAH ALAM, 23 APRIL: Susulan kebocoran gas di lokasi projek pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) 3 di Jalan Persiaran Kerjaya, Seksyen 1 di sini, laluan dari Subang menghala ke Glenmarie ditutup sepenuhnya selama 25 hari.

Laluan kontra akan dibuka bermula dari simpang tiga Temasya Kasih hingga ke Bangunan Palm Grove membabitkan jarak lebih kurang 350 meter.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib berkata semalam pihaknya menerima maklumat mengenai kebocoran gas terbabit yang mana saluran paip tersebut adalah saluran utama bagi membekal gas asli kepada Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya.

Beliau berkata atas faktor keselamatan pengguna jalan raya dan kawasan sekitar, pihak bomba menyarankan agar menutup sepenuhnya laluan terbabit.

“Lokasi penutupan jalan ini adalah penghubung laluan utama dari Subang menghala ke Glenmarie. Sekiranya penutupan penuh dijalankan akan menyebabkan kesesakan teruk ke arah Lebuhraya Persekutuan menghala ke Shah Alam.

“Tempoh masa penutupan jalan dan pembukaan laluan kontra dijangka selama 25 hari, iaitu tempoh membaik pulih dijangka selesai,” katanya dalam kenyataan hari ini

Baharudin berkata sepanjang tempoh itu, bantuan rondaan daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam dan pihak Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd bagi menilai tahap kesesakan lalu lintas dan keselamatan pengguna jalan raya.

Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya agar memandu secara berhemah, mematuhi isyarat lalu lintas dan berhati-hati semasa melalui laluan kontra tersebut.

–BERNAMA


Pengarang :