AGENDANASIONAL

Polis terima 15 laporan berhubung penipuan pelaburan BIA

KUALA LUMPUR, 21 APRIL: Polis menerima sebanyak 15 laporan berkaitan penipuan pelaburan berasaskan minyak dan gas dikenali sebagai Brunei Investment Agency (BIA) melibatkan kerugian lebih RM500,000, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, sindiket tersebut dikesan sejak Oktober tahun lepas sehingga awal April tahun ini dengan kesemua pelabur atau mangsa menerima sebahagian keuntungan wang pelaburan mereka sebelum ditipu.

“Penipuan dikesan oleh mangsa pada 16 April lepas apabila ‘admin’ kumpulan WhatsApp yang diwujudkan telah gagal dihubungi dan tidak memberi maklum balas. Jumlah pelaburan yang dibuat oleh mangsa dianggarkan RM508,005,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mangsa ditawarkan pelaburan serendah RM120 dan tiada had maksimum serta maklumat berkaitan pelaburan itu diberikan sindiket melalui laman sosial Facebook dan satu kumpulan WhatsApp.

Katanya, sindiket itu menawarkan pakej pelaburan jangka pendek yang menjanjikan pulangan dalam tempoh tujuh hingga 40 hari dan pakej jangka panjang dalam tempoh dua bulan hingga empat bulan dengan pulangan 200 peratus.

“Satu kertas siasatan sudah dibuka berhubung kes untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, kerana melakukan penipuan dan suspek yang terlibat masih dikesan,” katanya.

Mohamad Zainal menasihatkan, orang ramai supaya tidak terpedaya dengan mana-mana pelaburan yang ditawarkan melalui laman sosial dan membuat semakan sewajarnya berkenaan latar belakang syarikat, supaya tidak menjadi mangsa seterusnya.

Sebarang maklumat berkaitan penipuan pelaburan tersebut boleh disalurkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Dang Wangi Kuala Lumpur, di talian 03-2600222 atau ‘hotline’ Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999.

– BERNAMA


Pengarang :