Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan program Bingkisan Mesra Selangor ketika program K2K (Kita Untuk Kita) Selangor di PPR Kampung Baru Hicom, Shah Alam pada 17 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Selangor rancang perluas aplikasi K2K di PPR, flat kos rendah

SHAH ALAM, 18 APRIL: Kerajaan Negeri merancang memperluas aplikasi K2K (Kita Untuk Kita) Selangor di beberapa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan flat kos rendah selepas melihat impak program itu.

K2K yang dibangunkan secara bersama antara Kerajaan Selangor dan Think City Sdn Bhd (Think City) membantu meningkatkan taraf ekonomi menerusi beberapa program keusahawanan di PPR Kampung Baru Hicom di sini.

Dato’ Menteri Besar berkata impak paling ketara adalah Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) berjaya mengutip kadar sewa yang tinggi setiap bulan di PPR itu.

“Kawasan perumahan di sini mencatat kutipan sewa lebih 90 peratus setiap bulan bermakna kerjasama penduduk adalah sangat baik. Hasilnya bukan sahaja dapat peruntukan tetapi sebahagian fasiliti asas mereka dapat ditampung utilitinya.

“Tiada masalah gangguan bekalan air, elektrik kerana kutipan sangat baik dan apa formula yang kita lakukan adalah sewaannya dimasukkan dengan yuran penyelengaraan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas mengadakan lawatan di PPR Kampung Baru Hicom sempena Hari K2K Selangor.

Beliau berkata kejayaan itu mendorong Kerajaan Negeri merancang mengguna pendekatan sama di tiga lagi PPR dan dua flat kos rendah dalam tempoh terdekat.

“Kita ada tiga di PPR termasuk rumah transit yang akan diberi perhatian terlebih dahulu dan selepas itu akan buat satu atau dua pilot projek di flat kos rendah seperti di Desa Mentari yang mempunyai masalah sama.

“Ia bukan masalah ‘building’, malah masalah sikap tetapi ia sedikit sebanyak dari masalah itu maka apabila kita ‘reform’ bayaran sewa mampu dikutip, beri fasiliti seadaanya dan ia memberi keyakinan kepada mereka melakukan perubahan,” katanya.

Penasihat utama Think City Dr Shahridan Faez berkata K2K dibangunkan ketika pandemik melanda negara tahun lalu dengan tujuan segala masalah, maklumat serta bantuan dikongsi menerusi satu platform.

Katanya, menerusi aplikasi itu penghuni PPR dapat mengetahui segala program Kerajaan Negeri, agensi kerajaan dan sebagainya yang boleh membantu mereka meningkatkan taraf hidup.


Pengarang :