Petugas Kesihatan Selcare melakukan ujian calitan kepada peserta Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan Serbaguna Seksyen 7, Bandar Baru Bangi pada 4 April 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
SELANGOR

Selangor rekod 415 kes baharu Covid-19, tiga kematian

SHAH ALAM, 10 APRIL: Selangor merekodkan 415 kes baharu Covid-19 hari ini termasuk tiga kes import, kata ketua pengarah kesihatan.

Menurut Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah lebih 70 peratus iaitu 295 kes dikesan daripada saringan kontak rapat dan 86 kes membabitkan lain-lain saringan.

“Jumlah harian ini turut melibatkan 31 kes dari kluster sedia ada termasuk lapan kes dari dua kluster baharu, kluster Kampung Kelanang dan Industri Jalan Kebun.

“Peningkatan ini menjadikan keseluruhan sebanyak 119,520 kes,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat tiga kematian melibatkan lelaki warga tempatan berusia antara 56 hingga 64 tahun.

“Semua kes memiliki penyakit kronik seperti jantung, kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh,” katanya.

Secara keseluruhan, Malaysia mencatatkan 1,510 kes baharu. Pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 dalam negara kini 359,117 kes.


Pengarang :