EXCO Generasi Muda, Sukan Dan Modal Insan, Khairuddin Othman menyampaikan sumbangan ketika majlis Penyerahan Makanan Tambahan Kepada Atlet dan Bekas Atlet Selangor pada 10 April 2021 di Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Kuala Lumpur. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Selangor belanja lebih RM100,000 bantu atlet, bekas atlet negeri

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM150,279 melaksanakan inisiatif program makanan tambahan kepada atlet dan bekas atlet Selangor.

EXCO generasi muda dan sukan berkata kira-kira 500 orang akan menerima manfaat sumbangan itu meliputi pemberian makanan berasaskan protein, vitamin dan minuman tenaga.

“Tujuan program ini adalah bagi meringankan beban atlet dan bekas atlet di Selangor terutama dalam mendepani cabaran pandemik Covid-19.

“Selain itu, ia juga bagi meningkatkan moral dan motivasi buat mereka untuk kekal aktif membuat latihan serta meneruskan kehidupan seharian walaupun tidak lagi terlibat dalam aktiviti sukan,” kata Mohd Khairuddin Othman.

Gimik perasmian majlis Penyerahan Makanan Tambahan Kepada Atlet dan Bekas Atlet Selangor pada 10 April 2021 di Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Kuala Lumpur. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian selepas program Penyerahan Makanan Tambahan Atlet dan Bekas Atlet Selangor 2020 di Foyer Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Bukit Kiara di sini hari ini.

Menurut beliau, kriteria pemilihan penerima adalah berdasarkan penglibatan aktif, mewakili Selangor dalam Sukan Malaysia (Sukma) dan bekas atlet yang banyak berjasa kepada negeri ini.

“Kita sentiasa mahu memastikan kebajikan golongan ini terbela sekali gus menyuntik semangat untuk mereka beraksi pada pertandingan akan datang,” katanya lagi.

Penerima itu terdiri daripada 400 peserta daripada Majlis Sukan Negeri Selangor, Yakeb (50), Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya (30) dan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (20).


Pengarang :