AGENDANASIONAL

Sesi PAC, sidang Parlimen penting jayakan program suntikan vaksin

SHAH ALAM, 22 APRIL: Prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan sidang Parlimen perlu diteruskan ke arah menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Ahli parlimen Permatang Pauh berkata langkah tersebut bagi mengatasi masalah segelintir rakyat yang sangsi untuk menerimanya susulan wujud pelbagai kumpulan anti vaksin di media sosial.

“Permulaan yang baik menerusi sesi PAC bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) sewajibnya diteruskan menerusi sidang Parlimen yang dibuka serta merta.

“Dewan Rakyat adalah medan semak imbang pihak eksekutif, tempat penggubalan undang-undang bagi melindungi hak rakyat dan perbahasan isu kritikal, bukannya semata-mata pertarungan membuang undi,” kata Nurul Izzah Anwar dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan pembukaannya juga mengukuhkan gandingan strategik merentasi parti, pihak berkepentingan dan masyarakat dalam memaksimakan keyakinan vaksinasi serta mencapai sasaran imuniti kelompok menjelang tahun depan.

Sementara itu, Nurul Izzah berkata anggota PAC yang menghadiri sesi penerangan JKJAV pada 5 Januari lalu berpuas hati dengan penjelasan berhubung proses perolehan vaksin, harga dan jadual penghantarannya.

“Malaysia kini berdepan serangan pandemik amat mengesankan kepada sistem kesihatan, sosio-ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Tumpuan kita perlu menjurus kepada perlindungan mereka.

“Mencapai imuniti kelompok sehingga 80 peratus adalah salah satu tiang seri utama dalam melindungi kita semua dan mengembalikan ekonomi negara ke arah lebih positif,” katanya.

Nurul Izzah berkata kritikan terhadap kelemahan urus tadbir negara tidak seharusnya merencatkan program imunisasi dengan fokus utama untuk keluar dari wahana pandemik dan mencapai sasaran ditetapkan.


Pengarang :