Selangorkini
Logo rasmi Sukan SEA dan Sukan Para Asean. Foto BERNAMA
AGENDA SUKANKINI

Sukan Para Asean: Acara berbasikal batal, jejas pungutan pingat

KUALA LUMPUR, 17 APRIL: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) bimbang ketiadaan acara berbasikal para di Sukan Para Asean (APG) ke-11 di Hanoi, Vietnam pada akhir tahun ini, akan menjejaskan pungutan pingat kontinjen negara.

Presidennya Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, acara berbasikal para merupakan antara penyumbang terbesar pingat emas negara, dengan kutipan 22 emas pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.

“Ini pastinya akan memberi impak kepada sasaran pingat kali ini, kerana begitu banyak sukan utama tidak dipertandingkan. Kami juga telah berbincang dengan skuad berbasikal para negara dan mereka merayu kepada MPM untuk meyakinkan Vietnam, menyenaraikan sukan itu,” katanya menerusi kenyataan.

Semalam, Jawatankuasa Penganjur Sukan Para Asean Vietnam (VIEAPGOC) memaklumkan secara rasmi kepada Persekutuan Sukan Para Asean (APSF), bahawa kerajaan Vietnam dan pihak berkuasa berkaitan, kekal dengan keputusan untuk hanya mempertandingkan 11 jenis sukan pada APG 2021 yang dijadual dari 17 hingga 23 Disember.

VIEAPGOC tidak dapat memenuhi cadangan untuk menambah empat sukan – berbasikal, bola keranjang kerusi roda, bola sepak cerebral palsy (CP) dan bola tampar duduk, atas alasan ekonomi serta kesukaran menyediakan venue dan kemudahan akibat pandemik Covid-19.

“Ini memberi tamparan hebat kepada sembilan negara anggota lain yang sudah membuat persediaan rapi, selain menaruh harapan tinggi untuk melihat sekurang-kurangnya 14 sukan dipertandingkan di Hanoi, daripada 16 sukan yang dipertandingkan pada temasya terakhir pada 2017,” kata Megat Shahriman.

Beliau berkata MPM bagaimanapun masih berharap, tuan rumah temasya sukan para itu dapat mempertimbangkan cadangan sehingga tarikh akhir setiap kontinjen perlu menyerahkan senarai panjang atlet.

-BERNAMA


Pengarang :