Foto: Facebook Selangor Royal Office
AGENDABERITA UTAMAPILIHAN MINGGUAN

Sultan gesa rakyat daftar vaksin, sabar tunggu giliran

SHAH ALAM, 10 APRIL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyeru rakyat di semua peringkat umur supaya tidak ragu-ragu untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Menerusi Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah pengambilan vaksin berkaitan adalah demi kesejahteraan dan kesihatan bersama.

“Baginda juga menggesa rakyat agar segera melakukan pendaftaran di aplikasi My Sejahtera dan bersabar menanti giliran masing-masing seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan,” menurut kenyataan itu.

Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin melengkapkan pengambilan vaksin Covid-19 hari ini selepas menerima suntikan dos kedua Pfizer-BioNTech di Hospital Shah Alam di sini.

Suntikan tersebut dibuat selepas 21 hari Baginda berdua menerima suntikan dos pertama pada 20 Mac lalu.

Sultan Sharafuddin berkenan untuk mengambilnya selepas dimaklumkan hampir kesemua petugas barisan hadapan di Selangor mendapatkan suntikan vaksin masing-masing.

Turut melengkapkan suntikan sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

 


Pengarang :