Ng Sze Han (tengah) menerima anugerah kategori kecemerlangan korporat dalam sektor utiliti sambil diiringi Pengarah Urusan KDEBWM Ramli Mohd Tahir (kiri) ketika Majlis Penganugerahan International Business Review ASEAN 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 2 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tekad KDEBWM beri khidmat terbaik, pastikan Selangor negeri terbersih

KUALA LUMPUR, 3 APRIL: KDEB Waste Management (KDEBWM) berazam meneruskan khidmat terbaik dalam pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di seluruh negeri.

Pengerusinya Ng Sze Han berkata syarikat itu juga bakal mempergiat program kitar semula di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menjadikan Selangor negeri terbersih.

“Ini antara aspek yang perlu ditekankan jika mahu memastikan negeri ini paling bersih dan hijau. Semestinya, kita sentiasa komited untuk bekerja lebih kuat ke arah itu,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Penganugerahan International Business Review ASEAN 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini malam tadi.

KDEBWM, anak syarikat Kerajaan Negeri meraih anugerah bagi kategori kecemerlangan korporat dalam sektor utiliti oleh The IBR Asia Group.

Sementara itu, ketua media dan perhubungan awamnya berkata syarikat terbabit berjaya mengubah industri sampah ke arah pengurusan pintar menggunakan teknologi internet segalanya.

“Kejayaan ini bukan sahaja sebagai pembakar semangat malah pemangkin untuk memberi perkhidmatan lebih baik selain berharap mengembangkannya ke seluruh negara,” kata Mahfuzah Muhamad Tarmidi.

Pada Julai tahun lalu, syarikat itu menerima pengiktirafan terbesar dari Frost and Sullivan.

KDEBWM mengambil alih sepenuhnya perkhidmatan pengurusan kutipan sampah domestik di semua PBT seluruh negeri pada Januari 2020.


Pengarang :