Petugas kesihatan Klinik Selcare melakukan ujian calitan kepada penduduk pada program Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di Taman Bukit Belimbing, Seri Kembangan, Kajang pada 27 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Covid-19: Kes mingguan Selangor naik ketara, tambah lebih 2,000

SHAH ALAM, 4 MEI: Kes mingguan Covid-19 di negeri ini mencatat peningkatan ketara, kata Pasukan Petugas Khas Covid-19 Selangor (STFC).

Jelas pasukan itu, data pada 17 hingga 23 April menunjukkan sebanyak 4,085 kes direkodkan, namun ia meningkat kepada 6,398 kes pada 24 hingga 30 April lalu.

“Jumlah kes mingguan Selangor bertambah lebih 2,000 berbanding minggu lepas iaitu kenaikan sangat ketara.

“Warga Selangor perlu serius mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan saling berpesan kepada orang ramai berkenaan protokol keselamatan sewajarnya,” kata STFC menerusi Twitter.

Menurut pasukan itu lagi, beberapa bazar Ramadan serta sekolah telah diarahkan tutup sepanjang minggu ini bagi mencegah perebakan wabak.

“Sekiranya perkembangan ini tidak dipandang serius dan pematuhan SOP hanya sambil lewa sahaja, ia berpotensi memberi akibat yang tidak menyenangkan kepada ekosistem kesihatan dan juga ekonomi,” katanya.

Semalam negeri ini merekodkan 637 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan 13,5486.


Pengarang :