Orang ramai mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka di tempat awam ketika tinjauan di ibu kota pada 9 Januari 2021. Foto BERNAMA
PENDAPATRENCANA

Kelesuan pandemik undang senario Covid negara bertambah parah

Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR, 20 MEI: “Bukan mudah untuk memberitahu emak yang dia positif Covid-19. Tetapi, kami sekeluarga belajar reda bahawa apa yang berlaku adalah ketentuan Allah. Cuma, kami sedih kerana segala SOP (tatacara operasi piawai) telah dipatuhi tetapi disebabkan sikap segelintir masyarakat yang masih pentingkan diri dan degil untuk patuh SOP, jadi punca emak kami akhirnya mangsa Covid-19,”.

Demikian kata pesara, Nin Zairani Mohd Ali, 61, anak kepada Sabariah Ahmad, 85, yang meninggal dunia Isnin lepas (17 Mei) selepas bertarung nyawa dua minggu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat wabak maut itu.

Beliau dan keluarga tidak menduga bahawa emaknya yang sihat, boleh berjalan dan masih kuat selain sentiasa patuh SOP dengan tidak keluar rumah, turut menjadi mangsa virus itu.

Semuanya kerana sikap pentingkan diri dan degil segelintir masyarakat yang masih ambil enteng akan arahan berulang kali kerajaan yang sentiasa mengingatkan akan kepentingan pematuhan SOP serta sikap bertanggungjawab untuk kuarantin di rumah apabila disahkan positif Covid-19.

Difahamkan, arwah Sabariah dijangkiti wabak itu daripada anak lelakinya yang menetap di Kuantan yang datang ke Kuala Lumpur dan tinggal di rumahnya selama dua hari untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di Institut Jantung Negara (IJN).

“Kami tidak salahkan abang kerana selepas pemeriksaan di IJN, dia mendapat panggilan yang memberitahu surau dikunjunginya di Kuantan sebelum ini telah ditutup kerana ada jemaah positif Covid-19. Difahamkan, jemaah itu sudah tahu positif Covid-19 dan pakai gelang tetapi tetap juga pergi ke surau,” katanya kepada Bernama.

Kesal dengan sikap masyarakat yang ambil remeh akan wabak berkenaan terutama pematuhan SOP, wanita ini menegaskan bahawa bahaya virus itu adalah benar, bukannya omongan kosong dan ia boleh membawa maut sepertimana yang berlaku pada ibunya dan juga mangsa Covid-19 lain.

Persoalannya sampai bila isu kegagalan pematuhan SOP ini harus berkumandang. Mengapa masih ramai yang berdegil untuk patuh SOP yang ditetapkan bagi mengekang penularan wabak maut itu daripada terus-menerus menyerang komuniti selain melindungi diri dan keluarga kita?

Bukanlah sukar untuk melihat sekelompok yang masih lagi degil, bersikap acuh tidak acuh dengan SOP. Lihat sahajalah di sekeliling, pastinya akan ada yang mengenakan pelitup muka tidak betul iaitu dengan meletakkan di bawah dagu, masih ramai juga yang mengabaikan penjarakan fizikal di tempat awam selain tetap juga hendak keluar rumah walaupun tidak ada keperluan penting.

Malah, baru-baru ini Pengarah Kesihatan Terengganu Dr Nor Azimi Yunus telah berkongsi di laman sosial mengenai tatakelakuan rakyat yang ambil remeh akan pematuhan SOP sehingga menyebabkan penularan jangkitan Covid-19 berlaku dengan pantas dan mewujudkan beberapa kluster baharu.

Menghairankan kerana dalam keadaan kes harian Covid-19 yang masih lagi empat digit, bagaimana ada yang boleh lagi bersenang-lenang lepak bersama kawan, buat majlis berbuka puasa melibatkan 20 orang, masak beramai-ramai dan sebagainya sehingga berlakunya penularan wabak itu di Terengganu, antara perkongsian Dr Nor Azimi.

Adakah ini dinamakan kelesuan pandemik? Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberikan definisi ‘kelesuan pandemik’ sebagai tindak balas semulajadi yang dijangkakan terhadap kesukaran yang berlanjutan serta berpanjangan dalam kehidupan seseorang disebabkan oleh pandemik. Rasa tidak puas hati, terasing dan putus asa adalah antara ciri-ciri kelesuan ini.

Ini dapat dilihat apabila netizen mula bising dan ungkapan ‘Kami penat dengan SOP’ menghiasi ruangan komen di pelbagai media sosial, akan tetapi apakah mereka sedar akan cabaran mental, fizikal petugas barisan hadapan negara yang tanpa henti sejak tahun lepas lagi dalam memerangi wabak itu.

Dalam menangani polemik ini, janganlah fikir diri anda sahaja yang penat kerana tanggungjawab yang diamanahkan bukanlah sesukar mana, hanya patuh SOP dan duduk rumah apabila tidak ada urusan penting untuk keluar.

Pada Rabu 18 Mei lepas Malaysia merekodkan kes harian tertinggi Covid-19 dengan 6,075 kes, sejak pandemik itu dikesan di negara ini pada Januari tahun lepas, manakala jumlah kematian akibat pandemik itu meningkat kepada 2,040 susulan 46 kes baharu yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas, dan 559 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 303 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Selain itu jumlah kluster baharu harian turut mencatat bilangan tertinggi iaitu 22 kluster dengan lapan membabitkan penularan di tempat kerja, tujuh melibatkan komuniti, enam berkaitan keagamaan dan satu di institusi pendidikan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dipetik berkata kemunculan varian-varian baharu yang membimbangkan (VOC) amat merisaukan kerana kebanyakan pesakit tidak menunjukkan gejala, malah ujian saringan Covid-19 juga sering mencatatkan keputusan negatif sekalipun ada pesakit sudah berada pada tahap kritikal.

Menurut Prof Madya Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Haliza Abdul Rahman, dari segi beban jangkitan bagi setiap juta penduduk, Malaysia sudah melepasi India. Namun Malaysia tidak sama dengan India kerana kepadatan penduduk kita lebih rendah dan sistem kesihatan jauh lebih baik berbanding negara itu.

Bagaimanapun sekiranya rakyat masih alpa dan berterusan gagal mematuhi SOP, tidak mustahil kes harian akan terus meningkat sekali gus membebankan petugas barisan hadapan negara yang sekarang ini bertungkus-lumus memerangi wabak itu.

Tidak ada jalan lain lagi, semuanya berbalik kepada pematuhan SOP dan setiap daripada kita perlu mainkan peranan kerana tanpa pembabitan bersama, pastinya sukar negara memerangi Covid-19. #kitajagakita

– BERNAMA


Pengarang :