Rohaya Atan bergambar bersama anaknya di hadapan rumah baharu sumbangan daripada Lembaga Zakat Selangor
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Keluarga asnaf seronok beraya rumah baharu percuma

KETIKA umat Islam girang merai pagi Aidilfitri, keluarga Rohaya Atan, 41, dan suami A’adila Abd Aziz, 48, sibuk menadah baldi.

Rumah mereka di Kampung Baru Pasir Penambang, Kuala Selangor kerap dimasuki air hujan dek atap zink telah berkarat. Bocor sana sini.

Dibina abang Rohaya kira-kira 30 tahun lalu, mereka membeli pada harga RM900, itu pun secara ansuran selama 10 bulan. Kini, rumah itu hanya menunggu masa menyembah bumi.

Tapi itu dulu. Kali ini, mereka berhari raya di rumah baharu sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS). Rumah tiga bilik berkeluasan 800 kaki persegi lengkap kemudahan elektrik dan air.

Air paras betis

Setiap kali air pasang, dapur dan bilik air digenangi air separas betis berhari-hari lamanya. Kadang-kala sampai berminggu-minggu.

Kedudukan rumah di antara pinggir sungai dan tambakan jalan berturap menyebabkan air tertampung. Lambat mengalir.

Bahkan, dinding dan lantai papan rumah kayu pula kian rapuh dimakan anai-anai. Salah melangkah, kaki lobos ke bawah.

Kediaman lama keluarga Rohaya Atan di Kampung Baru Pasir Penambang, Kuala Selangor yang kerap dimasuki air hujan dek atap zink telah berkarat

Setiap kali hujan, anak-anak yang mahu ke sekolah juga terpaksa memijak batu besar untuk menyeberang ke jalan.

Lebih-lebih lagi Zaifitri A’adila, anak bongsu berusia sembilan tahun yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) fizikal sejak lahir.

Rumah itulah didiami bersama lima anak berusia antara sembilan hingga 23 tahun. Di situlah mereka menyambut Aidilfitri sekian lama, hanya ala kadar.

Bukan tidak teringin tetapi jangankan rumah baharu, belanja harian pun selalu sangkut. Mujur ada bantuan bulanan LZS untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Berapalah sangat pendapatan nelayan pantai. Setiap kali turun ke laut dapatlah sekitar RM35. Itupun kalau cuaca baik. Kalau cuaca buruk atau musim tengkujuh, berhari-hari tidak ke laut. Mereka makan apa yang ada. Selalunya sayur yang dikutip sekitar kampung, ikan masin dan ikan pekasam yang dibuat sendiri.

Justeru, mereka gembira tidak terkata apabila ditawar rumah baharu percuma sumbangan LZS. Syukurnya tidak terkira. Mereka berterima kasih kepada LZS dan wakil rakyat Permatang Rozana Zainal Abidin yang banyak membantu.

“Macam bermimpi. Dahulu, tidak pernah terfikir dapat memiliki rumah sendiri kerana saya tidak mampu.

“Anak-anak tidak sabar mahu raya walaupun persiapan ala kadar sahaja,” kata Rohaya kepada Selangorkini.

Pada Oktober tahun lalu, mereka dengan penuh ceria berpindah ke rumah bernilai antara RM86,000 hingga RM90,000.

Tidak terlintas

Seperti jiran mereka, rumah Rahmat Idris, 59, juga usang dan sering dinaiki air. Bersama isteri dan enam anak berusia 30 hingga 15 tahun, mereka mendiami rumah itu 12 tahun lamanya.

Dengan menjual besi, tin aluminium, barangan plastik di pusat kitar semula selain menjual daun nipah kepada peniaga otak-otak, impian memiliki rumah sempurna telah lama luput dari hasrat.

Rahmat Idris gembira menerima rumah baharu sumbangan daripada Lembaga Zakat Selangor

Tidak pernah terlintas LZS memberi rumah buat mereka. Basikal, kenderaan untuknya untuk mencari bahan terbuang pun hasil bantuan agensi itu.

“Tidak sangka boleh dapat rumah sendiri. Kalau ikut kemampuan, tidak tahulah bila boleh ada rumah sendiri. Berapa sangatlah pendapatan jual besi buruk,”
katanya.

Selain mereka, seramai 11 lagi keluarga asnaf fakir dan miskin di Kampung Baru Pasir Penambang di sini menerima rumah sedemikian.

Lebih mengujakan mereka, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari sendiri menyampaikan simbolik kunci rumah kepada mereka pada 24 April.


Pengarang :