Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada program Strategi Pasca Covid-19 (PSPC19) semalam. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Kompaun dua darjat, keyakinan rakyat terhadap kerajaan terhakis

SHAH ALAM, 27 MEI: Isu kompaun dua darjat atas kesalahan berkait Covid-19 menyebabkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan semakin terhakis, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Orang dah tak yakin dah. Kalau saya selebriti kaya, hukuman lain, kalau saya VVIP atau tan sri hukumannya lain, kalau saya petani atau nelayan, kompaunnya segera. Hal ini harus diperbaiki.

“Ini yang dikatakan ‘trust’ defisit, terhakisnya keyakinan rakyat kepada kerajaan,” kata ketua pembangkang pada sidang media selepas merasmikan Program Strategi Pasca Covid-19 (PSPC19) secara dalam talian, semalam.

Program yang boleh diakses menerusi www.pascacovid.my adalah sistem bertujuan mengumpul, menapis, menganalisa serta berkongsi data untuk tujuan penyelidikan serta membantu menangani Covid-19.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata kesabaran rakyat sudah di tahap maksimum kerana kecewa melihat pemerintah seperti tidak ada arah tujuan dan tidak membawa impak meyakinkan.

“Kerja kerajaan bukan berharap, tetapi harus memberi harapan kepada rakyat. Apa yang kita lihat hari ini sangat bercelaru. Melihat ke depan, kita perlukan lebih banyak kerjasama dan juga sikap keterbukaan.

“PSPC19 akan menyumbang ke arah ini, dengan jaminan kepada beberapa prinsip yakni inklusif, kolaboratif, serta pendekatan yang mampu menyelesaikan permasalahan,” katanya.


Pengarang :