Orang ramai beratur menunggu giliran bagi membuat ujian calitan ketika Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan MBSA Paya Jaras Tengah, Sungai Buloh pada 26 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Anggota bomba Rawang manfaat saringan percuma

SUNGAI BULOH: 27 MEI: Empat anggota Balai Bomba dan Penyelamat Rawang menjalani Saringan Komuniti secara percuma anjuran Kerajaan Negeri bagi mengelak perebakan wabak.

Wakilnya Pegawai Bomba Arif Ibnu berkata mereka masih belum menerima vaksin dan terdedah kepada risiko jangkitan ketika bertugas.

“Sepatutnya kami telah divaksin namun ketika tarikh ditetapkan mempunyai urusan lain.

“Memandangkan kerjaya berjumpa ramai individu, kami ambil langkah berjaga-jaga dan tidak mahu menjadi penyebar virus,” katanya ketika ditemui pada program Saringan Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras semalam.

Anak kelahiran Sabah itu memaklumkan mereka tiba kira-kira jam 9 pagi dan selesai menjalani ujian calitan 45 minit kemudian.

Sementara itu, pasangan warga emas Mas Amir Hamid, 67, dan Fatimah Mad Isa, 65, turut memanfaatkan peluang bagi memastikan diri bebas Covid-19.

“Kami bukan kontak rapat tapi datang nak pastikan tak kena jangkitan. Lagi pun ini percuma, tak perlu keluar modal sendiri,” katanya.

Pesara swasta, Hasninlayali Hassan, 73, memuji tindakan Kerajaan Selangor menangani pandemik Covid-19 dengan melakukan saringan percuma secara menyeluruh.

“Urusan juga mudah. Saya tidak boleh berjalan ketika ini dan terpaksa menggunakan kerusi roda. Jadi, mereka beri laluan khas supaya tidak menunggu lama,” katanya.

Semalam, saringan percuma diadakan serentak di DUN Paya Jaras DUN Damansara Damai jam 9 pagi hingga 4 petang.

Sejak 8 Mei hingga kelmarin, seramai 36,780 individu menyertai 20 Saringan Komuniti Covid-19 melibatkan DUN sekitar Gombak, Hulu Langat serta sebahagian Petaling.

Kerajaan Selangor menjalankan pengawasan Covid-19 secara aktif menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) sehingga 10 Jun ini.

 

 


Pengarang :