Petugas kesihatan Klinik Selcare melakukan ujian calitan ke atas peserta program Saringan Komuniti Covid-19 percuma anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Serbaguna Teluk Pulai, Klang pada 29 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Patuh SOP di lokasi saringan pada tahap terbaik

KLANG, 30 MEI: Pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) di setiap lokasi saringan komuniti Covid-19 pada tahap terbaik susulan kawalan ketat agensi bertanggungjawab.

Pengurus Klinik Selcare berkata keadaan itu membolehkan proses ujian berjalan lancar meskipun kehadiran peserta mencecah ribuan.

“Sukarelawan pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) membantu memastikan pengunjung menjaga penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan mengguna cecair pembasmi kuman.

“Mereka juga menyukat suhu badan selain peserta diimbas kod bar aplikasi MySejahtera sebelum dibenarkan masuk,” kata Mohd Noor Md Nasir kepada SelangorKini.

Mohd Noor Md Nasir. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian pada program Saringan Komuniti percuma anjuran Kerajaan Selangor di Dewan Serbaguna Teluk Pulai di sini semalam.

Mohd Noor memaklumkan anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT), polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) ditugaskan mengawal aliran trafik serta pergerakan pengunjung bagi mengelak kesesakan.

“Sebab itu kita memperkenal sistem tempahan waktu di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan individu boleh mendaftar awal serta datang mengikut slot janji temu ditetapkan.

“Orang ramai boleh melihat graf jumlah semasa pengunjung di satu-satu lokasi,” katanya menambah individu selesai disaring diarah pulang segera sementara menunggu keputusan dipapar melalui SELangkah.

Bermula 8 Mei hingga 10 Jun, Kerajaan Selangor menjalankan saringan percuma di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Program di bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.


Pengarang :