Selangorkini
Pemilik kilang penstoran minyak pelincir terpakai di Telok Panglima Garang dipenjara sehari dan denda RM85,000 oleh Mahkamah Sesyen Sepang kerana melakukan aktiviti tanpa kelulusan JAS pada 7 Mei 2021. Foto ihsan JAS Selangor
AGENSI SELANGOR

Pemilik kilang simpan minyak pelincir terpakai dipenjara, didenda

SHAH ALAM, 8 MEI: Pemilik sebuah kilang yang menjalankan aktiviti penstoran minyak pelincir terpakai di Telok Panglima Garang, Kuala Langat dipenjara sehari oleh Mahkamah Sesyen Sepang.

Hakim Noorhisham Jaafar menjatuhi hukuman ke atas pemilik berusia 37 tahun selaku orang kena saman (OKS) selain mengarahkannya membayar denda sebanyak RM85,000.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor berkata OKS mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan menjalankan aktiviti terbabit tanpa kebenaran jabatan tersebut.

“Pada 24 Oktober 2019, OKS didapati menempatkan buangan terjadual di premisnya tanpa kelulusan ketua pengarah Alam Sekeliling mengikut Seksyen 34B(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Sabit kesalahan boleh dipenjara lima tahun dan denda tidak melebihi RM500,000,” kata Nor Aziah Jaafar dalam kenyataan semalam.

Bagi pertuduhan kedua, beliau berkata pemilik didapati menjalankan aktiviti tanpa kelulusan Laporan EIA seperti kehendak mengikut Seksyen 34A(2), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Sementara pertuduhan ketiga, pemilik didapati menjalankan aktiviti berkenaan tanpa Kebenaran Bertulis daripada ketua pengarah mengikut Seksyen 19(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Bagi pertuduhan terakhir, pemilik menjalankan aktiviti tanpa lesen sebagai Premis Yang Ditetapkan daripada ketua pengarah mengikut Seksyen 18(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” kata Nor Aziah.

Beliau menegaskan JAS Selangor tidak akan berkompromi terhadap penjenayah alam sekitar dan sentiasa mengambil tindakan tegas.

Aktiviti pencemaran alam sekitar boleh dilapor melalui talian bebas tol 1-800-88-2727, e-mel [email protected] atau portal e-aduan di https://eaduan.doe.gov.my.


Pengarang :