Petugas kesihatan Klinik Selcare melakukan ujian calitan ke atas peserta program Saringan Komuniti Covid-19 percuma anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Serbaguna Teluk Pulai, Klang pada 29 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

PKP Penuh: Penduduk luar Klang ambil peluang jalani saringan

KLANG, 31 MEI: Penduduk luar mengambil peluang menjalani saringan Covid-19 di bandar ini dan sekitarnya menjelang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh bermula esok.

Pengurus Klinik Selcare berkata sekitar lima hingga 10 peratus golongan tersebut dijangka menyertai saringan komuniti percuma di baki dua lokasi membabitkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran dan Sentosa hari ini.

“Majoriti peserta menggunakan kesempatan yang ada untuk mengikuti program anjuran Kerajaan Negeri susulan pengumuman penutupan penuh aktiviti sosial dan ekonomi.

“Kita tidak halang mana-mana individu dari luar untuk turut serta demi kebaikan bersama dan mereka boleh daftar di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah),” kata Mohd Noor Md Nasir di Dewan Pandamaran Jaya di sini semalam.

Sabtu lalu, Dato’ Menteri Besar berkata keputusan meneruskan program di bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 akan dibincangkan selewat-lewatnya hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan perkara itu akan diputuskan dalam mesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negera (MKN).

Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 DUN sejak 8 Mei dan dijadual berakhir 10 Jun.

Program memanfaatkan rakyat yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan diri selesai dijalankan di 34 DUN sehingga kini.


Pengarang :