Petugas kesihatan meletakkan sampel calitan di dalam tiub selepas membuat ujian saringan Covid-19 di Gombak pada 22 April 2020. Foto AFP
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Rebakan virus makin parah, kluster aktif ancam komuniti

KUALA LUMPUR, 8 MEI: Penularan koronavirus maut Covid-19 yang semakin mengancam komuniti dengan ledakan kes harian baharu mutakhir ini sehingga melebihi 4,000 kes, meletakkan Malaysia kembali dalam keadaan ‘genting’.

Dengan kes harian baharu sebanyak 4,498 yang diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setakat pukul 12 tengah hari (Jumaat 7 Mei), jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 melonjak kepada 34,789 kes.

Jumlah kes kumulatif pula sudah melepas paras 430,000 iaitu 432,425 kes.

Selangor berterusan sepanjang Rangkuman Mingguan Bernama (1 hingga 7 Mei 2021) menyumbang jumlah kes harian terbanyak. Semalam, Selangor mencatat 1,424 kes, diikuti Sarawak 750 kes dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 436 kes.

Kes harian baharu melebihi tiga ribu dicatat pada 6 Mei (3,551), 5 Mei (3,744 kes), 4 Mei (3,120 kes) dan 2 Mei (3,418 kes).

Laporan harian Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengenai Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (Covid-19) di Malaysia, turut menunjukkan semakin banyak kluster baharu dikesan.

Semalam, sebanyak 19 buah kluster baharu dilaporkan dengan kluster tempat kerja 10 kes, kluster komuniti empat (4) kes, kluster keagamaan tiga (3) kes dan dua kluster pendidikan.

Pada Rabu 5 Mei 2021 sahaja, sebanyak 20 kluster baharu dilaporkan dengan lapan (8) kluster tempat kerja, enam (6) kluster komuniti, empat (4) kluster pendidikan dan dua (2) kluster keagamaan.

Setakat 7 Mei 2021, terdapat 425 kluster yang masih aktif dan 102 kluster menambah kes baharu.

Jumlah kes pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi turut kritikal dan setakat hari ini 7 Mei, Dr Noor Hisham dalam paparan Facebook peribadi beliau menyatakan, negara merekodkan kemasukan sebanyak 506 kes ke ICU, iaitu jumlah yang tertinggi semenjak pandemik ini bermula. Sebanyak 295 kes daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

Menurut beliau, kemasukan kes kritikal ke ICU meningkat sebanyak 44 peratus berbanding tempoh dua minggu yang lepas di seluruh negara dan beberapa negeri seperti Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Sarawak menunjukkan kadar peningkatan yang lebih tinggi.

Seorang pekerja kesihatan yang memakai pakaian pelindung menyusun katil hospital bagi merawat pesakit Covid-19 di Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur. Foto REUTERS

Sebanyak 22 hospital mencatatkan kadar penggunaan katil ICU Covid-19 melebihi 70 peratus dan ada yang mencecah lebih 90 peratus. Beberapa hospital bukan Covid-19 juga terpaksa merawat pesakit yang memerlukan bantuan alat pernafasan kerana pesakit ini tidak dapat dipindahkan ke hospital Covid-19 akibat kesesakan ICU. Ada juga pesakit yang terpaksa diberi bantuan alat pernafasan di wad-wad biasa.

Ledakan kes harian baharu yang bagaimanapun tidak dikaitkan sebagai ‘Gelombang Keempat’, membuatkan kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa buah negeri/daerah.

Pada 4 Mei, PKP diisytiharkan untuk enam (6) daerah di Selangor iaitu Hulu Langat, Klang, Petaling, Kuala Langat, Gombak dan Sepang, berkuatkuasa dari 6 hingga 17 Mei 2021.

PKP turut diisytiharkan untuk tempoh 7 hingga 20 Mei 2021, bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; daerah Johor Bahru, Kulai dan Kota Tinggi, Johor; Mukim Taiping, Daerah Larut Matang dan Selama, Perak; di 14 mukim dalam daerah Besut (kecuali Mukim Hulu Besut), Terengganu.

Malaysia turut menyekat kemasukan pengembara dari Nepal, Bangladesh, Sri Lanka dan Pakistan.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan ia sebagai susulan tambahan sekatan penerbangan dari dan ke India, berikutan kebimbangan penularan Covid-19.

Malaysia mencatat kes pertama kemasukan varian Covid-19 dari India dengan mutasi berganda dikenali sebagai B.1.617.1. Mengumumkan perkara ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata di samping itu, negara juga mengesan sebanyak 48 kes varian Afrika Selatan, B.1.351, UK B.1.1.7 (8 kes), dan varian Nigeria B. 1.525 (2 kes).

Malaysia pernah mencatat kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 melepasi angka 50,000 pada Gelombang Ketiga Covid-19 iaitu sebanyak 50,894 kes pada 6 Februari 2021.

Setakat ini, di bawah Gelombang Ketiga Malaysia hanya sekali mencatat kes harian baharu tiga angka iaitu pada 29 Mac 2021, sebanyak 941 kes.

Warganegara kes terbanyak

Menurut Dr Noor Hisham hari ini (7 Mei 2021), daripada 4,498 kes harian baharu, sebanyak 4,493 adalah penularan tempatan sementara kes import sebanyak 5 kes iaitu 1 warganegara (WN) dan empat (4) bukan warganegara (WN).

Secara puratanya, WN menyumbang sekitar 90 peratus kepada kes penularan tempatan berbanding BWN.

Berikut adalah data yang menunjukkan situasi berkenaan, termasuk kes harian baharu dan kes kumulatif, berdasarkan makluman KKM, bagi tempoh rangkuman mingguan Bernama (1 hingga 6 Mei 2021).

1 Mei – kes baharu : 2,881 kes (411,594 kes kumulatif,); kes tempatan : 2,865 kes [ 2,609 WN (91.1%)]; 256 BWN (8.9%); kes import : 16 kes (5 WN dan 11 BWN);

2 Mei – kes baharu : 3,418 kes (415,012 kes kumulatif); kes tempatan : 3,408 kes [ 3,134 WN (92.0%); 274 BWN (8.0%)]; kes import : 10 kes (1 WN dan 9 BWN);

Jururawat memakai sut perlindungan diri memeriksa pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur pada 21 April 2020. Foto REUTERS

3 Mei – kes baharu : 2,500 kes (417,512 kes kumulatif); kes tempatan : 2,496 kes [ 2,301 WN (92.2%)]; 195 BWN (7.8%) ; kes import : 4 kes (2 WN dan 2 BWN);

4 Mei – kes baharu : 3,120 kes (420,632 kes kumulatif); kes tempatan : 3,114 kes [ 2,918 WN (93.7%); 196 BWN (6.3%)]; kes import : 6 kes (1 WN dan 5 BWN);

5 Mei – kes baharu : 3,744 kes (424,376 kes kumulatif); kes tempatan : 3,737 kes [ 3,514 WN (94.0%); 223 BWN (6.0%)] ; kes import : 7 kes (1 WN dan 6 BWN);

6 Mei – kes baharu :3,551 kes (427,927 kes kumulatif); kes tempatan : 3,535 kes [3,242 WN (91.7%); 293 BWN (8.3%)]; Kes import : 16 kes (10 WN dan 6 BWN);

7 Mei – kes baharu :4,498 kes (432,425 kes kumulatif); kes tempatan : 4,493 kes [4,179 warganegara (93.0%); 314 bukan warganegara (7.0%)]; kes import : 5 kes (1 warganegara dan 4 bukan warganegara);

Dengan 432,425 kes kumulatif, Malaysia kini di tangga 42 (berbanding 43 minggu lepas) dalam senarai 216 buah negara yang dilanda pandemik Covid-19. Malaysia kini mengatasi Arab Saudi (424,445 kes) dan di hadapan Malaysia adalah Maghribi (513,016 kes).

Setakat 7 Mei 2021, sebanyak 3,449 kes sembuh dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes pesakit yang pulih daripada Covid-19 kini 396,004 kes (91.6 peratus).

Sementara rekod kes sembuh harian sepanjang tempoh rangkuman ini:-

1 Mei ( 2,462 kes), 2 Mei ( 2,698 kes), 3 Mei ( 2,068 kes), 4 Mei (2,334 kes), 5 Mei (2,304 kes), 6 Mei (2,709 kes) dan 7 Mei (3,449 kes).

Ledakan kluster baharu

Sehingga Jumaat 7 Mei 2021, Malaysia mencatat sebanyak 1,759 kluster dan 1,334 daripadanya diisytihar tamat. Sebanyak 425 masih aktif dan 102 daripadanya menambah kes baharu.

Tiga kluster yang mencatat pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Jalan Kempas Pagoh (70 kes), Kluster Jalan Besar Sungai Jawi (47 kes), dan Kluster Beladin (45 kes).

Sebanyak 19 klluster baharu diumumkan hari ini (7 Mei 2021), dan maklumat seperti tertera di bawah:-

Sabtu 1 Mei – 14 kluster baharu, melibatkan masing-masing empat (4) kluster komuniti, kluster tempat kerja, dan kluster sektor pendidikan termasuk satu (1) kluster institusi pendidikan KPM, serta dua (2) kluster keagamaan.

Ahad 2 Mei – 11 kluster baharu, melibatkan lima (5) kluster komuniti, empat (4) kluster sektor pendidikan termasuk dua (2) kluster institusi pendidikan KPM, serta dua (2) kluster tempat kerja.

Isnin 3 Mei – 9 kluster baharu, melibatkan masing-masing tiga (3) kluster komuniti dan kluster tempat kerja, dua (2) kluster sektor pendidikan termasuk satu (1) kluster institusi pendidikan KPM, serta satu (1) kluster pusat tahanan.

Selasa 4 Mei – 17 kluster baharu, melibatkan tujuh (7) kluster komuniti, lima (5) kluster tempat kerja, empat (4) sektor pendidikan termasuk satu (1) kluster institusi pendidikan KPM, dan satu (1) kluster keagamaan.

Kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar melakukan proses sanitasi di Masjid Ar-Rahman, dekat Alor Merah yang diarah tutup sepenuhnya pada 9 September 2020. Foto BERNAMA

Rabu 5 Mei – 20 kluster baharu, melibatkan lapan (8) kluster tempat kerja, enam (6) kluster komuniti, empat (4) sektor pendidikan termasuk tiga (3) kluster institusi pendidikan KPM, dan dua (2) kluster keagamaan.

Khamis 6 Mei – 14 kluster baharu, melibatkan lapan (8) kluster tempat kerja, masing-masing dua (2) kluster komuniti dan kluster sektor pendidikan termasuk satu (1) kluster institusi pendidikan KPM, serta masing-masing satu (1) kluster kumpulan berisiko tinggi dan kluster keagamaan.

Jumaat 7 Mei -melibatkan 10 kluster tempat kerja, empat (4) kluster komuniti, tiga (3) kluster keagamaan, dan dua (2) kluster sektor pendidikan termasuk satu (1) kluster institusi pendidikan KPM.

Sementara itu, Dr Noor Hisham Abdullah dalam catatan di Facebook peribadinya pada Jumaat 7 Mei 2021 mengumumkan, kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 7 Mei 2021 untuk seluruh negara kekal 1.10. Negeri mencatat Ro tertinggi ialah Terengganu 1.35, Kedah 1.28 dan Perak 1.25.

R-Naught (Ro/Rt) iaitu kebolehjangkitan satu kes positif Covid-19 kepada orang lain dalam tempoh kebolehjangkitan sepanjang tempoh rangkuman Bernama (1 Mei hingga 7 Mei 2021) secara konsistennya berada pada kadar lebih 1.0. Sebelum ini, kadar Ro 0.5 diperlukan untuk melandaikan lekuk jangkitan koronavirus maut ini.

Perincian kes

Berdasarkan perincian KKM mengenai 4,498 kes Covid-19 yang dilaporkan KKM pada Jumaat 7 Mei 2021, Selangor menumbang kes harian baharu terbanyak iaitu 1,424 kes. Daripda jumlah itu, sebanyak 1,074 kes adalah daripada saringan kontak rapat kes positif Covid-19; 259 kes daripada lain saringan Covid-19, sementara 91 kes daripada kluster termasuk kluster baharu.

Untuk rekod, Selangor juga menyumbang kes harian baharu terbesar sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan Bernama (1 Mei hingga 7 Mei 2021) iaitu pada 1 Mei (759 kes), 2 Mei (1,200 kes), 3 Mei (637 kes), 4 Mei (675 kes), 5 Mei (1,548 kes) dan 6 Mei (1,137 kes).

Kes harian baharu tiga angka melibatkan sembilan negeri iaitu Sarawak 750 kes (*2), WP Kuala Lumpur 436 kes (*3), Johor 327 kes, Pulau Pinang 313 kes, Kelantan 297 kes, Kedah 209 kes, Negeri Sembilan 188 kes, Sabah 153 kes dan Perak 148 kes.

Sebanyak tiga negeri mencatat kes harian baharu dua angka iaitu Terengganu 87 kes, Pahang 78 kes dan Melaka 74 kes.

WP Putrajaya, Perlis dan WP Labuan mencatat kes harian baharu satu angka, iaitu masing-masing lapan kes, empat kes dan dua kes.

(*kes import)

Sementara itu, sebanyak 22 kes kematian dilaporkan semalam, menjadikan kes kumulatif kematian sebanyak 1,632 kes, melibatkan 20 warganegara dan dua bukan warganegara.

-BERNAMA


Pengarang :