Selangorkini
Petugas kesihatan membuat persediaan dan merekod kehadiran pesakit Covid-19 ketika tinjauan hari pertama pembukaan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Malawati Shah Alam pada 8 Februari 2021. Foto BERNAMA
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Stadium Malawati hanya pusat penilaian, bukan tempatkan pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 16 MEI: Stadium Malawati di sini berperanan sebagai Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan tidak menempatkan pesakit dijangkiti wabak tersebut seperti didakwa.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menegaskan individu ke pusat terbabit akan dinilai sama ada perlu dimasukkan ke hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), PKRC swasta atau pemantauan di rumah.

“Sepertimana sedia maklum, bilangan kes positif di Selangor meningkat dalam beberapa hari kebelakangan ini. Ini secara langsung menambah beban tugas di CAC Stadium Malawati.

“Kami amat komited dalam membendung Covid-19,” kata JKNS sambil memaklumkan video yang tular memaparkan kedatangan harian untuk penilaian dan pelepasan.

Semalam, tular video selama seminit di media sosial menunjukkan orang ramai beratur untuk masuk ke CAC di Stadium Malawati yang dikatakan akan menghuni pusat berkenaan buat sementara waktu.

Jabatan itu menambah kesesakan juga berlaku berikutan terdapat saringan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) dengan individu positif perlu menjalani calitan menggunakan kaedah tindak balas berantai polimeras masa nyata (RT-PCR) jika tiada epid link.

Jelasnya, jika kes tersebut mempunyai epid link yang kuat, kaedah PCR tidak perlu dilaksana memandangkan sudah dianggap sebagai kes pasti Covid-19.

“Di Selangor, itu amalannya kerana jumlah kes yang banyak dan perlu dipercepatkan proses rawatan pesakit. Jika semua keputusan RTK diambil kira, kerisauan akan ada kes positif palsu,” katanya.

Stadium Malawati beroperasi sebagai CAC bagi daerah Petaling sejak 8 Februari lalu dengan kapasiti seramai 1,000 hingga 1,200 pesakit untuk dinilai sehari.

CAC dibentuk pada akhir Januari bagi menilai pesakit sama ada kekal dikuarantin di rumah atau perlu dibawa ke pusat berkenaan. Jika perlu rawatan lanjut, pesakit dirujuk ke hospital.


Pengarang :