Suasana hari pertama Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen pada 13 Julai 2020. Sidang kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos depan. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Akur titah Agong, Parlimen bakal bersidang sebelum 1 Ogos

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Yang Dipertua Dewan Negara Senator Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun mencadangkan kepada perdana menteri agar sidang khas Parlimen diadakan sebelum 1 Ogos mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Cadangan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin itu susulan majlis menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam.

“Kedua-dua Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan telah menyatakan komitmen dan kesediaan penuh Parlimen Malaysia untuk mengadakan persidangan Parlimen seperti yang dititahkan oleh Baginda Tuanku,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Parlimen Malaysia hari ini.

Menurut kenyataan itu, pada majlis menghadap berkenaan, Al-Sultan Abdullah telah menzahirkan titah pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan sebelum 1 Ogos ini.

Majlis menghadap itu turut dihadiri timbalan-timbalan Yang Dipertua kedua-dua dewan.

– BERNAMA


Pengarang :