Gambar diambil menggunakan dron menunjukkan ada aktiviti pembinaan di tapak projek perumahan yang tidak termasuk dalam kerja kritikal sepanjang PKP di Teluk Panglima Garang, Kuala Langat pada 2 Jun 2021. Foto CIDB Selangor
AGENDANASIONAL

CIDB: Hanya 16 peratus sektor pembinaan dibenar operasi

SHAH ALAM, 16 JUN: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) hanya meluluskan 16 peratus permohonan sektor pembinaan untuk beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua eksekutifnya berkata sebanyak 74,200 permohonan menerusi Covid-19 Intelligent Management System (CIMS 3.0) seliaan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri diterima namun hanya 11,939 diluluskan.

“Ini berikutan proses kelulusan ketat bagi memastikan hanya projek pembinaan kritikal saja beroperasi, sekali gus mengurangkan penularan Covid-19 dalam sektor pembinaan.

“Operasi penguatkuasaan yang intensif juga dilaksana bagi memastikan mana-mana tapak pembinaan yang tidak menerima surat kebenaran tidak dibenarkan operasi,” kata Datuk Ir Ahmad ‘Asri Abdul Hamid dalam kenyataan hari ini.

Beliau memaklumkan daripada keseluruhan permohonan diterima, 58,778 permohonan baharu dan 14,422 adalah rayuan.

“Antara sebab tidak diluluskan kerana projek dilaksanakan tidak tersenarai sebagai pembinaan kritikal dalam tatacara operasi piawai (SOP) sektor pembinaan PKP 3.0 yang diwartakan,” katanya.


Pengarang :