Petugas Klinik Selcare membantu peserta mengimbas kod bar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) sebagai pengesahan sebelum dibenarkan menjalani saringan Covid-19 percuma di Kompleks Muhibbah Tanjung Sepat, Kuala Langat pada 4 Jun 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Daftar awal di SELangkah bukti orang ramai kian sedar pentingnya saringan

KUALA LANGAT, 4 JUN: Dalam tempoh seminggu hampir 1,000 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib mendaftar di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) bagi menyertai Saringan Komuniti hari ini.

Wakil rakyat Hasnul Baharuddin berkata pendaftaran awal itu membuktikan orang ramai semakin sedar kepentingan ujian Covid-19 sekali gus mengekang penularan pandemik.

“Kita harap peratusan kes disyaki positif rendah berbanding DUN lain,” katanya ketika ditemui di Dewan MPKL Banting Baru.

Timbalan speaker Dewan Negeri Selangor berkata pihaknya menyediakan 20 sukarelawan sebagai usaha melancarkan proses saringan.

Saringan percuma bermula 9 pagi hingga 4 petang turut dijalankan di Kompleks Muhibbah bagi DUN Tanjong Sepat.

Sejak dilancarkan 8 Mei lalu hingga semalam, seramai 87,903 individu menyertai program saringan komuniti itu membabitkan daerah Gombak, Hulu Langat, Petaling, Klang, Sepang dan Kuala Langat.

Dari jumlah terbabit, 3.6 peratus iaitu 3,168 peserta disyaki positif wabak selepas disaring menggunakan kit pantas antigen (RTK-Ag).


Pengarang :