Pasukan pengurusan jenazah Covid-19 lengkap mengenakan sut perlindungan diri (PPE) membawa jenazah pesakit Covid-19 untuk urusan pengebumian ketika tinjauan di Hospital Nucleus Labuan pada 7 Jun 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lebih 60 individu maut akibat Covid-19 ada kencing manis, darah tinggi

SHAH ALAM, 7 JUN: Lebih 60 daripada 82 individu yang meninggal dunia akibat Covid-19 hari ini menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Ketua pengarah kesihatan dalam kenyataan menyebut kematian termuda membabitkan wanita berusia 39 tahun di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar.

Rekod Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga menunjukkan kebanyakan mangsa, majoritinya lanjut usia, ada pelbagai latar belakang penyakit lain seperti buah pinggang kronik dan jantung.

Beliau berkata tiga negeri yang merekodkan kematian dua angka ialah Selangor (23), Johor (17) dan Negeri Sembilan (11).

Kuala Lumpur mencatatkan lapan kes, Kedah (lima), masing-masing empat kes di Sarawak, Perak, dan Kelantan, Labuan (dua) serta satu di Sabah, Melaka, Terengganu, dan Pulau Pinang.

Jumlah berkenaan menjadikan keseluruhan 3,460 individu maut di seluruh negara akibat wabak sejak lebih setahun lalu.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata terdapat 23 kluster baharu dengan 16 daripadanya membabitkan kluster tempat kerja. Seramai 383 orang positif Covid-19 daripada 2,632 yang disaring.

 


Pengarang :