Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Mahabbah Ramadan Dato’ Menteri Besar Bersama Penjawat Awam di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 23 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB umum pakej bantuan rakyat RM551.56 juta depani PKP

SHAH ALAM, 9 JUN: Kerajaan Negeri mengumumkan Pakej Bantuan Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta bagi membantu rakyat yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pelan bertemakan ‘Bersama-sama Menuju Kejayaan’ meliputi tiga strategi dan 25 program bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat Selangor.

Strategi merangkumi menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat, menyelamatkan industri dan sektor ekonomi serta usahawan di Selangor dan kawalan kesihatan untuk mengekang penularan wabak.

Dato’ Menteri Besar berkata dasar yang dibentangkan ketika pandemik memberi kesan baik dalam tempoh jangka pendek dan pelaburan jangka panjang selain turut memanfaatkan rakyat negeri lain.

“Kerajaan Negeri sudah beberapa kali merangka dan melaksanakan pakej bantuan serta rangsangan ekonomi. Semua ini bukanlah semata-mata mahu menjadi populis ataupun “contrarian”.

“Dasar dan polisi yang digarap adalah untuk kebaikan rakyat dan Negeri Selangor,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan pakej tersebut hari ini.

Beliau menjelaskan kerajaan perlu menjadi penanda arah, mengilhami dan menggembleng harapan untuk membantu rakyat mengharungi cabaran pandemik.

Selain mengambil langkah berani, Amirudin menambah pemerintah juga perlu bersedia mendengar rintihan rakyat yang sudah hampir dua tahun dibebani kesan penularan Covid-19.

“Bukanlah untuk bermegah ataupun mendabik dada, namun saya sering terdengar sesetengah pihak sering memuji Selangor yang sentiasa proaktif menangani penularan dan berikhtiar mengukuhkan ekonomi negeri seumpama upaya Saringan Komuniti yang melibatkan 117,314 orang setakat semalam.

“Usaha ini pada mulanya diremehkan sesetengah pihak, akan tetapi kita teruskan juga kerana kita bukan semberono merangka sesuatu polisi. Kita yakin kerana ia berasaskan sains dan fakta,” kata Amirudin.

Pada Mac tahun lepas, Kerajaan Selangor mengumumkan pakej rangsangan ekonomi Selangor Prihatin bernilai RM127.78 juta diikuti fasa kedua pada 1 April bernilai RM272 juta.

Pelan pemulihan ekonomi negeri sebanyak RM55.8 bilion nilai ekonomi dibentang pada 13 Julai diikuti Pakej Kita Selangor berjumlah 73.8 juta pada 20 Januari pada tahun ini.


Pengarang :