PBTSELANGOR

MPK nyahcemar pasar awam setiap hari

SHAH ALAM, 9 JUN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menjalankan proses nyahcemar di empat pasar awam di bawah pengurusannya pada setiap hari sebagai langkah pencegahan jangkitan Covid-19.

Pengarah Jabatan Kesihatannya berkata pasar awam sering menjadi tumpuan ramai dan risiko berlaku jangkitan tinggi kerana mungkin berlaku pencemaran virus dibawa pengunjungnya.

“Kita ambil langkah pencegahan awal dan laksana proses nyahcemar dua kali sebulan yang dijalankan apabila pasar ditutup.

“Tetapi pada masa sama, kita juga minta kontraktor supaya melakukan kerja nyahcemar setiap hari di pasar awam,” kata Azmi Muji di Facebook MPK semalam.

Empat pasar di bawah MPK ialah Kompleks Pasar Meru, Pasar Besar Baru Kapar, Pasar Pandamaran dan Pasar Pelabuhan Klang.

Azmi berkata selain itu kerja nyahcemar turut kerap dijalankan di stesen pengangkutan awam, pejabat kerajaan, taman rekreasi, sekolah dan rumah ibadat.

“Kita turut mendapat kerjasama bomba dan tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang kerap membantu apabila diminta melakukan kerja nyahcemar,” katanya.


Pengarang :