Mohamed Fareed Ashaaree berucap ketika pengumuman keputusan e-Bazar Raya Selangor dan pelancaran Sidec TV secara maya pada 23 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Media Selangor guna semua medium promosi Sidec TV

SHAH ALAM, 24 JUN: Media Selangor Sdn Bhd (Media Selangor) akan menggunakan semua aset dan produk sedia ada bagi mempromosikan Sidec TV kepada penduduk negeri ini.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata hebahan boleh dibuat melalui portal, akhbar, media sosial dan televisyen web yang disiarkan di bangunan pusat pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Langkah ini membantu hebahan berkaitan Sidec TV kepada rakyat dan berharap inisiatif tersebut dapat memberi kebaikan kepada semua,” kata Mohamed Fareed Ashaaree.

Beliau yang berucap pada majlis pelancaran Sidec TV secara maya semalam turut memuji inisiatif agensi terbabit untuk membantu individu menceburi perniagaan.

“Sebagai rakan strategik, pendekatan Sidec TV yang menyediakan modul lengkap berkaitan keusahawanan secara percuma adalah langkah terpuji bagi memastikan kelangsungan pendapatan rakyat Selangor.

“Saluran ini boleh diakses bila-bila masa secara maya dan peserta berpeluang menerima bimbingan dan bantuan berkonsepkan ‘zero to hero’ bagi meningkatkan produktiviti,” kata Mohamed Fareed.

Sidec TV diperkenal Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) bagi membantu usahawan menimba pelbagai pengetahuan dalam bidang e-dagang.

Pelbagai video termasuk teknik meningkatkan jualan dimuatkan secara percuma kepada peniaga yang tiada kelapangan menghadiri kelas fizikal untuk mereka belajar secara kendiri.

 


Pengarang :