Anggota polis dan tentera melakukan sekatan jalan raya di laluan Lebuhraya Persekutuan pada 13 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Polis terima surat daripada mana-mana kementerian di sekatan jalan raya

SHAH ALAM, 2 JUN: Polis menerima surat yang dikeluarkan oleh mana-mana kementerian atau jabatan bagi urusan kerja di sekatan jalan raya (SJR).

SAC Gerakan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, M V Srikumar M Nair berkata, arahan itu daripada Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

“Ketua Polis Negara telah memutuskan dan mengarahkan supaya kita menerima pakai semua surat pergerakan baik daripada MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri), kementerian atau jabatan walaupun selepas dua tiga hari yang dikatakan diberi kelonggaran kita tetap benarkan pemakaian surat-surat ini.

“Harap tuan-tuan dan puan-puan maklum kepada semua bahagian yang menjalankan sekatan jalan raya,” katanya menerusi video yang dikongsikan Facebook Kementerian Pengangkutan, malam ini.

Pada 31 Mei, Acryl Sani berkata semua sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi perlu mendapatkan surat kebenaran pergerakan baharu daripada MITI.

Surat kebenaran pergerakan dikeluarkan MITI ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini tidak boleh diguna pakai lagi dan mereka perlu membuat permohonan baharu.


Pengarang :