Selangorkini
Mohd Qabil Ambak Muhamad Fathil atlet ekuestrian Malaysia yang pertama bertanding di Sukan Olimpik. Foto Facebook Qabil Ambak
AGENDA SUKANKINI

Qabil Ambak layak ke Sukan Olimpik Tokyo

KUALA LUMPUR, 4 JUN: Mohd Qabil Ambak Muhamad Fathil melakar sejarah baharu apabila tampil sebagai atlet ekuestrian Malaysia yang pertama bertanding di Sukan Olimpik.

Presiden Persatuan Ekuestrian Malaysia (EAM) Syed Omar Syed Abu Bakar AlMohdzar mengucapkan tahniah kepada atlet berusia 41 tahun itu melalui hantaran di laman Facebook persatuan tersebut kerana terpilih bagi mewakili negara dalam acara dressage.

“Ini bukan sahaja satu pencapaian penting dalam sukan nasional tetapi juga negara kita kerana ini adalah kali pertama Malaysia diwakili dalam acara ekuestrian pada temasya Sukan Olimpik. Olimpik memberikan kesempatan untuk kita bersatu dalam pelbagai cara terutama ketika berdepan cabaran global susulan pandemik Covid-19.​

“Sebagai sebahagian daripada skuad Olimpik Malaysia, Qabil Ambak adalah suri teladan bagi sukan ekuestrian dan semua rakyat Malaysia. Kami mengucapkan selamat berjaya kepadanya dan tidak sabar untuk memberikan sokongan padu kepada beliau,” katanya.

Qabil, dari Kuala Lumpur, juga pernah tampil sebagai atlet pertama Malaysia yang berentap di Pertandingan Akhir Piala Dunia pada 2003 selain menggondol pingat dalam pelbagai kejohanan peringkat Asia dan Sukan SEA, termasuk perak dalam acara dressage individu pada Sukan Asia 2018.

Sukan Olimpik Tokyo dijadualkan bermula pada 23 Julai.

– BERNAMA


Pengarang :