EXCO Kesejahteraan Bandar, Rodziah Ismail disertai Ahli Dewan Negeri Morib, Hasnul Baharuddin, mengedarkan bantuan makanan kepada pemandu teksi di Dewan Sri Jugra, Kuala Langat pada 8 April 2021. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor paling prihatin, banyak beri pemandu teksi bantuan

SHAH ALAM, 15 JUN: Selangor negeri paling prihatin dalam membantu golongan pemandu teksi yang terbeban akibat penularan Covid-19 menerusi pemberian bakul makanan.

Yang dipertua Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM) berkata pihaknya berharap keprihatinan itu menjadi ikutan negeri lain memandangkan hampir semua pemain industri terjejas.

“Kuala Lumpur ada juga beri 200 bakul tetapi tidak cukup. Setakat ini Selangor dilihat lebih prihatin dan ikhlas, sumbangan juga lebih banyak,” kata Kamarudin Mohd Hussain kepada SelangorKini hari ini.

Dengan data lengkap 7,000 ahli, beliau berharap kerjasama dapat dijalinkan bersama GTSM bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar.

“Sebelum ini bantuan menerusi majlis daerah (pihak berkuasa tempatan), ada terima lebih ada tidak dapat, jadi kita mahu agihan secara sistematik dapat dilaksanakan bagi elak pembaziran,” katanya.

Minggu lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Pakej Kita Selangor 2.0, antaranya inisiatif bakul makanan diteruskan kepada golongan B40, pemandu bas dan van sekolah, pemandu teksi dan bas persiaran, ibu tunggal, orang kelainan upaya serta pesakit Covid-19.

 


Pengarang :