Temu bual bersama Dr Dzulkefly Ahmad di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 23 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tekan tiga aspek dalam tempoh PKP penuh untuk kekang Covid-19

SHAH ALAM, 30 JUN: Kaedah mengenal pasti, pengujian, pengesanan, kuarantin dan sokongan (FTTIS), pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) serta pemberian vaksin perlu bersekali dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh bagi mengekang Covid-19.

Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata tanpa penekanan tiga aspek berkenaan, PKP yang dilaksana ketika ini adalah sia-sia.

“Mustahak untuk kita pastikan apabila melakukan ‘lockdown’ ini perlu bersekali dengan pendekatan tiga serampang (FTTIS, pematuhan SOP, pemberian vaksin).

“Kita terpaksa mengakui bahawa virus ini akan bersama kita…kena lebih bijak, lebih padu bukan sahaja pada ‘lockdown’,” kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata demikian ketika Bual Bicara – Covid-19: Mencari Jalan Keluar yang disiarkan secara langsung menerusi TV Selangor, malam tadi.

Dr Dzulkefly berkata gelombang yang dilalui ketika ini tercetus selepas Aidilfitri di mana kluster meningkat berkali ganda dengan angka kematian akibat Covid-19 juga turut meningkat.

“Selepas hari raya kita dapat lihat beberapa perkara iaitu kluster sejurus hari raya dengan jumlahnya tiga kali ganda, kematian juga begitu serta lonjakan penggunaan fasiliti kesihatan. Ini peringatan untuk kita semua.

“Saya rasa menjelang Aidiladha kita perlu kekang kehendak kita…kita sudah lihat pada hari raya sebelum ini bagaimana lonjakan itu berlaku,” katanya.

Sebelum ini, ketua pengarah kesihatan memaklumkan sebanyak 60 kluster perayaan membabitkan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai dikesan sepanjang 13 Mei hingga 10 Jun.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata 58 kluster Aidilfitri dan dua sambutan Gawai itu merekodkan 3,511 kes positif selepas 13,023 individu disaring.


Pengarang :