Haniza Talha menyumbang ayam dan sayuran bagi meringankan beban perbelanjaan penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya.
ADNSELANGOR

Wakil rakyat pembangkang akui peruntukan bantu ribuan penduduk

SHAH ALAM, 26 JUN: Wakil rakyat pembangkang mengakui ribuan penduduk memperoleh manfaat daripada peruntukan yang diberi Kerajaan Negeri kepada mereka melalui program Mesra Rakyat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya berkata dana itu disalur untuk bank makanan, bantuan kerusi roda, sumbangan untuk masjid dan surau, projek pertanian serta bantuan kepada sekolah.

“Ribuan rakyat juga dapat dibantu walaupun kita hanya dapat RM150,000. Kalau dapat RM500,000 maka lagi ramai dapat manfaat,” kata Haniza Talha kepada Selangorkini.

Beliau yang pernah menyandang jawatan EXCO Selangor sebelum berubah haluan politik berkata pihaknya merancang dengan teliti setiap program berikutan peruntukan itu untuk kegunaan sepanjang tahun.

“Cuma kaedah yang dilakukan itu perlulah dirancang sebagai contoh kerusi roda, kita buat secara pinjaman selepas guna pulangkan, orang lain pula dapat,” katanya.

Haniza menjelaskan pihaknya juga menjalankan kerjasama bersama syarikat tertentu yang menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi memastikan penduduk DUN Lembah Jaya dibantu.

Menyifatkan bantuan makanan banyak membantu penduduk terjejas akibat wabak, beliau berkata peruntukan itu disalur kepada penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk agihan sumbangan.

Menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 yang dibentang pada 9 Jun lalu, peruntukan program Mesra Rakyat kepada semua 56 wakil rakyat termasuk pembangkang ditingkat kepada RM100,000.

Kerajaan Negeri atas semangat ‘Kita Selangor’ juga memberi peruntukan tambahan RM50,000 untuk program tersebut membabitkan jumlah keseluruhan RM3.28 juta.


Pengarang :