Ahli Dewan Negeri Taman Templer Mohd Sany Hamzan.
ADNBERITA UTAMASELANGOR

70 pek makanan diagih kepada penduduk Taman Templer setiap hari

GOMBAK, 26 JULAI: Sebanyak 70 bakul makanan asas diagih setiap hari kepada penduduk sekitar Taman Templer bagi meringankan beban mereka yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Wakil rakyatnya Mohd Sany Hamzan berkata edaran pek berupa beras, gula, tepung, bihun, sardin dan teh bernilai RM30 dibuat atas permintaan penduduk melalui ketua kampung serta pusat khidmat.

“Memang setiap hari bantuan ini disalurkan kepada penduduk sama ada serahan dilakukan sendiri oleh pegawai pusat khidmat atau mereka datang sendiri ke bank makanan yang disediakan.

“Kita menerima permintaan terlalu tinggi malah ada sebahagian mereka yang memohon bantuan sama sehingga tiga kali, namun kita percaya mereka ini sangat mengharapkan bantuan berikutan hilang pendapatan akibat Covid-19,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Sri Siantan hari ini.

Selain barangan asas, Mohd Sany berkata pihaknya turut membekalkan lampin pakai buang dan susu bayi kepada keluarga memerlukan mengikut permintaan.

Beliau menjelaskan sumbangan komputer riba dan tablet diberi kepada pelajar sekolah serta institusi pengajian tinggi daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) bagi memudahkan pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR).

“Biasanya kita akan selidik dahulu latar belakang pelajar terbabit kerana keutamaan adalah mereka yang mempunyai ramai adik-beradik bersekolah,” katanya.


Pengarang :