Petugas kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Langat menyemak butiran individu yang berdaftar untuk menjalani saringan Covid-19 di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Jugra, Banting. Foto Facebook PKD Kuala Langat
AGENDANASIONAL

CAC secara maya untuk kes gejala ringan, tiada gejala

SHAH ALAM, 15 JULAI: Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) akan dibangunkan secara maya dalam masa terdekat bagi mengurus kes bergejala ringan dan tidak bergejala.

Pengarah Bersama Pasukan Pengurusan Projek Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) berkata orang ramai tidak perlu ke CAC secara fizikal dengan penubuhan CAC maya.

“Pemantauan kes tersebut akan diadakan secara maya tanpa keperluan hadir secara fizikal ke CAC.

“Arahan pengawasan di rumah (HSO) akan diberi melalui aplikasi MySejahtera atau lain-lain. Ia (CAC maya) sah di sisi undang-undang,” kata Dr Chong Chee Keong dalam sidang media hari ini.

Sementara itu, beliau berkata kapasiti katil hospital sedia ada di Lembah Klang akan dingkatkan termasuk di unit rawatan rapi (ICU) dan bukan ICU bagi menampung pertambahan kes.

Menurutnya, untuk kapasiti katil ICU, tambahan 30 katil melalui tiga modular akan diterima tidak lama lagi.

“Ketika ini 40 peratus pesakit dimasukkan ke hospital mempunyai gejala serius yang memerlukan bantuan oksigen dan alat pernafasan membabitkan kategori tiga serta empat,” katanya.

 


Pengarang :