Jururawat Hospital Pakar KPJ Tawakkal Aqilah Abd Rahim (kiri) memeriksa butiranpenerima vaksin Covid-19 jenis Pfizer pada tinjauan di Hospital Pakar KPJ Tawakkal, Kuala Lumpur pada 14 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Hampir 15 peratus penduduk Malaysia lengkap dua dos suntikan vaksin

KUALA LUMPUR, 21 JULAI: Seramai 4,769,909 individu iaitu 14.6 peratus populasi rakyat di negara ini telah lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 hingga 11.59 malam tadi.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata seramai 10,301,905 individu telah menerima dos pertama, yang menyaksikan jumlah pemberian vaksin itu di seluruh negara kini mencecah 15,071,814 dos suntikan.

“Jumlah ini termasuk suntikan pada Hari Raya Aidiladha semalam iaitu sebanyak 299,593 dos, merangkumi 204,064 individu menerima suntikan pertama dan 95,529 adalah penerima dos kedua,” katanya dalam hantaran melalui laman Twitter hari ini.

Beliau berkata lima negeri yang mencatatkan pemberian vaksin tertinggi semalam ialah Selangor dengan 107,444 individu, Kuala Lumpur (63,493), Sarawak (46,606), Johor (28,050) dan Pulau Pinang (14,630).

Menerusi hantaran sama, Labuan kekal negeri yang mencatatkan peratusan penduduk dewasa lengkap dua dos vaksinasi tertinggi dengan 64.7 peratus, diikuti Sarawak (47.3 peratus), Perlis (36.5 peratus), Lembah Klang (21.6 peratus) dan Negeri Sembilan (20.9 peratus).

– BERNAMA


Pengarang :