Sebahagian pekerja wanita Top Glove yang beratur sebelum dibawa keluar oleh petugas kesihatan berikutan penularan wabak Covid-19 di Asrama Pekerja Top Glove Meru Klang pada 24 November 2020. Foto: BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Hanya kerajaan pusat ada kuasa tutup operasi kilang, tegas EXCO

SHAH ALAM, 14 JULAI: Kuasa menutup operasi sektor pengilangan bagi mengawal penularan Covid-19 terletak dalam bidang kuasa kerajaan persekutuan, jelas EXCO kerajaan tempatan Selangor.

Ng Sze Han berkata semua usaha kawalan wabak termasuk tatacara operasi piawai (SOP) tertakluk kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (atau Akta 342).

Beliau juga menjelaskan pihak berkuasa tempatan (PBT) tiada kuasa sama ada untuk membatal, menamat atau menarik lesen sewenang-wenangnya terhadap sebarang kilang di negeri ini.

Tambahnya, Penasihat Undang-Undang Negeri menyatakan penutupan operasi kilang bagi mengawal virus tersebut tertakluk kepada Akta 342, arahan atau SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Oleh yang demikian, bagi maksud Akta 342, PBT tidak mempunyai bidang kuasa sama ada untuk membatalkan, menamatkan atau menarik lesen atau kebenaran secara sewenang-wenangnya terhadap mana-mana kilang di negeri Selangor,” katanya hari ini.

Dalam kenyataannya, Sze Han bagaimanapun menegaskan kakitangan PBT di negeri ini turut bekerjasama dengan agensi-agensi persekutuan bagi memastikan semua premis mematuhi SOP.

“Berdasarkan laporan polis, setakat 12 Julai, sejumlah 39,604 pemeriksaan dijalankan dalam Op Patuh di Selangor dengan 768 kompaun dikeluarkan dan sebanyak 214 premis termasuk kilang telah diarah tutup,” katanya.

“Proses pemeriksaan ini akan terus berlaku demi memastikan penularan wabak Covid-19 dapat dikawal sehingga kes menurun agar sistem kesihatan negara tidak terbeban dengan jumlah pesakit yang mendadak.”

Beliau berkata PBT terlibat sebagai satu anggota sahaja dalam Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan Pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Covid-19 (JKPS) yang diketuai Kementerian Dalam Negeri.

Dalam mesyuarat pertama JKPS pada hujung Jun, Op Patuh digerakkan di seluruh negara bagi memastikan kilang dan premis perniagaan mematuhi SOP dan tidak menyalah guna surat kelulusan operasi kementerian.

Sze Han juga berkata kerjasama PBT di Selangor dalam Op Patuh boleh dibuat susulan pindaan Seksyen 2(1) Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) Pindaan 2021.

“(Pindaan itu) memperluaskan pegawai yang terlibat merangkumi badan berkanun dan PBT agar dapat turut bersama menjalankan penguatkuasaan ke atas SOP,” katanya.

Namun beliau turut menegaskan pindaan tersebut tidak bermaksud PBT mempunyai kuasa untuk menutup kilang.

“Pindaan itu dibuat bagi membolehkan pegawai kesihatan persekitaran di PBT membantu menjalankan penguatkuasaan SOP dan arahan Kerajaan Persekutuan. Kuasa tersebut masih di bawah Kerajaan Persekutuan,” tambahnya.


Pengarang :