Petugas Jabatan Forensik HTAR mengusung keranda mayat pesakit Covid-19 untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam pada 22 Julai 2021. Foto Facebook HTAR 
AGENDANASIONAL

Hospital Klang urus 38 jenazah pesakit Covid-19 semalam

SHAH ALAM, 23 JULAI: Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang menguruskan 38 jenazah pesakit Covid-19 beragama Islam dan bukan Islam semalam.

Jabatan perubatan forensik hospital memaklumkan urusan pengebumian 12 jenazah beragama Islam dibuat dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM).

“Sebanyak 10 jenazah selamat diurus dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang manakala dua jenazah lagi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.

“Kerjasama ini adalah penting dalam usaha menyelesaikan fardu kifayah bagi jenazah Covid-19 di HTAR supaya ia berjalan lancar,” menurut kenyataan di Facebook HTAR.

Jabatan tersebut turut merakamkan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa selain mendoakan agar mereka tabah menghadapi ujian ini.

“Semoga Allahyarham atau Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan diampunkan segala dosa-dosa mereka,” katanya.


Pengarang :