Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya pada 2 Disember 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jangkitan boleh dikawal jika lebih ramai lengkap dua dos vaksin

SHAH ALAM, 23 JULAI: Pemberian dos lengkap vaksin Covid-19 kepada lebih ramai penerima terbukti dapat mengurangkan jangkitan Covid-19, maklum ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memberi contoh Labuan yang hari ini hanya mencatatkan 21 kes selepas tahap pemberian pelalian itu meningkat kepada 73.7 peratus.

Menurutnya tiga hingga empat minggu lalu wilayah itu merekodkan kes tinggi membabitkan jangkitan varian Delta yang mudah menular.

“Hari ini dimaklumkan hospital medan di sana akan ditutup, kes di pusat kuarantin pun berkurangan dan begitu juga dengan jumlah pesakit di hospital.

“Kita dapati daripada model di Labuan ini, kalau kadar pemberian vaksin ditingkatkan jangkitan juga boleh dikawal,” katanya pada sidang media hari ini.

Dr Noor Hisham berkata jangkitan wabak di kalangan petugas kesihatan yang sudah menerima dua dos vaksin juga rendah membabitkan 1.9 peratus daripada 245,995 kakitangannya.

“Kesan jangkitan juga kurang dan hanya dalam kategori satu dan dua, tidak teruk sehingga kategori empat serta lima.

“Kemasukan warga emas ke hospital akibat Covid-19 juga berkurangan kerana ramai telah lengkap dua dos menerusi pemberian vaksin fasa dua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” katanya.


Pengarang :